|
1. Dalam hubungan kaunseling, ahli harus sedar akan bentuk perhubungan
yang dijalin, menghormati klien, serta menjauhkan diri dari terlibat
dengan aktiviti yang memenuhi kehendak-kehendak peribadi ahli dengan
mengambil kesempatan ke atas diri klien. Ahli harus sedar dan mengawasi
agar hubungan itu tidak melanggar adat dan agama, dan harus menjaga
hak asasi individu serta maruah peribadi klien dalam hubungan ini.
2. Tanggungjawab utama ahli ialah menghormati integriti dan memelihara
kebajikan klien sama ada yang dibantu secara individu atau kelompok
3. Ahli mestilah menyedari keperluan dan hak klien untuk memilih
tajuk perundingan. Sekiranya pemilihan tidak dapat dibuat, ahli
mestilah menolong klien dalam memilih tajuk perundingan berkenaan.
4. Perhubungan kaunseling serta maklumat yang didapati, mestilah
dianggap rahsia, sesuai dengan tanggungjawab ahli sebagai seorang
professional. Rekod perhubungan kaunseling termasuklah nota temuduga,
data ujian, surat menyurat, rakaman-rakaman keset dan video dan
lain-lain dokumen, hendaklah dianggap sebagai maklumat professional
yang digunakan dalam proses kaunseling. Maklumat ini tidak boleh
digunakan sebagai sebahagian daripada rekod agensi atau institusi
di mana ahli bekerja, melainkan dinyatakan oleh undang-undang negara.
5. Menggunakan data yang diambil dari perhubungan kaunseling bagi
kegunaan latihan dan kajian, hendaklah terbatas kepada kandungan
yang boleh menyembunyikan identiti klien. Ahli hendaklah sentiasa
menjaga kerahsiaan identiti klien dengan sebaik-baik mungkin.
6. Sebelum memulakan sebarang perhubungan kaunseling, ahli hendaklah
memberitahu klien akan matlamat, prosedur kerja dan limitasi yang
ada serta apa yang diharapkan akan berlaku semasa proses kaunseling
dijalankan. Semua cara yang dicuba bagi menolong klien hendaklah
dinyatakan dengan terang kepada klien serta langkah-langkah keselamatan
yang cermat hendaklah diambil oleh ahli.
7. Apabila keadaan klien, mengikut pertimbangan ahli, menunjukkan
dengan terang bahawa diri klien atau orang lain dalam keadaan bahaya,
ahli hendaklah menggunakan kebijaksanaannya mengambil tindakan sendiri
dengan adil, atau memaklumkan kepada pihak yang berkuasa. Perundingan
dengan professional yang lain bolehlah dibuat jika difikirkan perlu.
8. Sekiranya seseorang individu telah membentuk perhubungan kaunseling
dengan seorang professional yang lain, ahli tidak boleh mengadakan
hubungan kaunseling dengannya tanpa memberitahu professional tadi
atau memastikan bahawa perhubungan yang pertama telah ditamatkan.
9. Ahli-ahli boleh memilih untuk berunding dengan professional
lain sebagai pakar perunding yang berkelayakan mengenai seseorang
klien. Dalam usaha memilih pakar perunding ini, ahli hendaklah tidak
menimbulkan apa-apa konflik atau mempengaruhi pakar perunding untuk
menolong klien.
10. Jika ahli merasa tidak mampu untuk memberikan pertolongan yang
professional kepada klien, ia haruslah jangan memulakan hubungan
kaunseling atau menamatkannya secepat mungkin. Dalam keadaan tadi,
ahli mestilah mencadangkan pilihan-pilihan lain yang sesuai. (Ahli
haruslah mengetahui sumber-sumber rujukan supaya pilihan yang memuaskan
boleh dibuat). Sekiranya terdapat keadaan di mana klien enggan menerima
rujukan yang dicadangkan, ahli tidaklah bertanggungjawab untuk meneruskan
hubungan itu.
11. Dalam keadaan di mana ahli mempunyai pertalian tertentu dengan
mereka yang meminta perkhidmatan, seperti hubungan yang melibatkan
pentadbiran dan berunsurkan penilaian, ia tidak boleh menjadi kaunselor
malah ahli hendaklah merujukkan kepada professional lain, kecuali
jika tidak ada pilihan lain yang boleh dibuat.
12. Hubungan tertentu seperti saudara mara , kawan baik atau hubungan
emosi/selks dengan klien akan menjejaskan pertimbangan ahli secara
profesioanl dan objektif. Keadaan ini mestilah dijauhi atau hubungan
kaunseling itu hendaklah diputuskan dan klien dirujuk kepada professional
lain yang layak.
13. Ahli hendaklah cuba memerhatikan sesuatu perhubungan kaunseling
sekiranya jelas kepada ahli bahawa klien tidak mendapat apa-apa
manfaat daripada perhubungan tersebut.
14. Dalam suasana hubungan kaunseling kelompok, ahli hendaklah
bertanggungjawab mengambil langkah-langkah yang berjaga-jaga bagi
melindungi individu daripada sebarang ganguan fizikal dan atau psikologi
hasil daripada interaksi dalam kelompok.
15. Dalam menjalankan kaunseling kelompok, ahli atau kaunselor
hendaklah membentuk norma-norma kerahsiaan mengenai apa yang telah
dilahirkan oleh peserta-peserta dalam kelompok.
16. Ahli digalakkan menapis dan menimbang terlebih dahulu peserta-peserta
kelompok terutama jika penekanan kelompok dibuat ke atas kefahaman
diri yang boleh membawa kepada pendedahan kendiri. Ahli perlu sedar
tentang perkembangan dan penglihatan peserta kelompok sepanjang
hayat kelompok.
17. Jika sekiranya ahli terlibat dalam pengendalian kaunseling
kelompok jangka pendek atau program latihan seperti kelompok maraton
dan lain-lain, ahli bolehlah menentukan adanya bantuan professional
semasa dan selepas kelompok itu diadakan.
18. Jika sekiranya ahli berada dalam suasan kerja yang mengkhendaki
pengubahsuaian kenyataan di atas, ahli-ahli hendaklah bertanggungjawab
untuk berunding dengan professional lain bila perlu untuk mempertimbangkan
pilihan yang lebih sempurna.
|