- Ucapan di Majlis Penutup Persidangan Serantau kearifan tempatan, Selasa, 11 Oktober 2011, Kampung Tok Senik Resort, Langkawi, Kedah Darul Aman
Bismillahirahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh dan salam sejahtera
Saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana di atas limpah kurnianya membolehkan kita berkampung selama dua hari di Kampung Tok Senik Resort ini dalam usaha yang cukup penting yang belum pernah dipelopori secara serius oleh mana-mana pihak khususnya pada peringkat institusi pengajian tinggi.
Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua pembentang kertas kerja dalam setiap alam Kearifan Tempatan yang diwujudkan di dalam persidangan ini. Input dari setiap pembentang adalah penting dan bermakna kepada negara dan akan menjadi khazanah ilmu primer kepada setiap pihak yang berhasrat untuk mendalami khazanah Kearifan Tempatan dalam konteks Malaysia dan Indonesia.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
Persidangan ini bertujuan untuk mengumpul ilmu-ilmu Kearifan Tempatan baik yang telah hilang, hampir hilang atau yang masih ada tetapi dilihat terancam dan berpotensi untuk hilang suatu masa nanti. Sehingga kini, tiada satu pun pihak yang tahu berapa banyak khazanah warisan ini yang telah lenyap ditelan arus waktu. USM cukup sedar tentang senario ini dan mahu membantu. Bertolak dari situ, USM telah mewujudkan Sekretariat Kearifan Tempatan yang bertindak sebagai kuasa pendorong kea rah pembentukan kluster kajian yang ekstensif dan mendalam dalam bentuk rentas bidang dalam pengkhususan terhadap Kearifan Tempatan.
Apabila dilihat dari apa yang telah dibentangkan, kajian-kajian yang dijalankan ini adalah jambatan awal yang menjadi penghubung dunia teori dan praktis. Pembentangan-pembentangan ini akan merapatkan jurang ilmu tempatan dengan dunia akademik dan ini sekaligus akan membolehkan setiap ‘kepandaian’ di rekod dan dikaji. Saya fikir ‘kepandaian’ masyarakat terdahulu ini jika dikaji dengan mendalam, akan membantu kita membangunkan pelbagai kajian rentas bidang yang lebih bermakna kepada ketamadunan manusia. Kearifan Tempatan bersifat rentas bidang. Ia tidak hanya tertakluk kepada dunia sastera, persembahan dan pertukangan, malah ia turut mencakupi dunia perubatan, pengubatan dan penyembuhan, sains persekitaran, pengurusan air, pengurusan organisasi, pertanian lestari. Luangkan masa kita untuk menghayati Kearifan Tempatan yang kita miliki kerana banyak yang boleh kita pelajari darinya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Dalam kesempatan ini saya ingin menyeru agar dapat kita fikirkan keperluan untuk membawa semula Kearifan Tempatan yang kita miliki kembali di dalam kehidupan kita. Kearifan tempatan adalah jatidiri bangsa. Cara kita berpakaian misalnya banyak berkait dengan Kearifan Tempatan. Batik adalah sebahagian daripada kearifan tempatan. Malangnya ia kini hanya jadi sebahagian daripada pakaian untuk majlis-majlis tertentu sahaja atau dipakai oleh badan-badan kerajaan pada tempoh waktu bekerja sehari seminggu. Ia kini telah menjadi jauh terpisah dari masyarakat yang lebih selesa memakai baju kemeja dan seluar jeans milik dunia barat.
Saya juga menyeru agar dapat diusahakan usaha dokumentasi Kearifan Tempatan di negara ini. Dokumentasi Kearifan Tempatan masih pada tahap permulaan yang belum pernah lagi diambil oleh mana-mana pihak secara agresif. Jika adapun, usaha dokumentasi sedia ada tidak komprehensif dan berpisah-pisah. Kita belum ada satu ruang perkongsian atau pengkalan data berpusat yang mengumpul segala kearifan yang kita miliki. Mungkin usaha ini tidak mudah dilakukan kerana terdapat kearifan tempatan yang dianggap sulit oleh pemiliknya. Namun ia perlu dilakukan kerana kita tidak ingin kepandaian ini lenyap tanpa direkodkan kewujudannya. Sediakan pengkalan data yang komprehensif dalam Kearifan Tempatan dan saya yakin ia akan membolehkan kita mencapai kemajuan dan pemodenan seiring dengan kemantapan nilai budi manusia tanpa mengorbankan alam.
Sidang hadirin yang dimuliakan,
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sekretariat Kearifan Tempatan USM yang kini berpusat di Unit Pembangunan dan Penasihatan Pelajar USM di atas kejayaan menganjurkan persidangan ini. Saya fikir banyak lagi yang akan dilakukan oleh sekretariat ini dalam usaha untuk kita memertabatkan Kearifan Tempatan masyarakat kita.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini menutup Persidangan Serantau Kearifan Tempatan 2011.
Sekian, terima kasih.