PESTA BOLA JARING USM PERLU JADI IKON SUKAN NEGARA

UCAPAN Y.BHG. PROF. DATO’ OMAR OSMAN, NAIB CANSELOR UNIVERSITI SAINS MALAYSIA DI MAJLIS MALAM PENGHARGAAN PESTA BOLA JARING USM-PENANG INTERNATIONAL KE-21, 2011
8 DISEMBER 2011, NAZA TALYYA HOTEL, PULAU PINANG

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum wahrahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera,

-Salutasi-

1.    Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya dapat kita berkumpul pada hari ini untuk meraikan kejayaan penganjuran Pesta Bola Jaring USM-Penang International ke-21 malam ini adalah sebagai penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerja keras di dalam penganjuran acara berprestij ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat sama ada secara lansung atau tidak lansung dalam menjayakan acara kejohanan yang penuh gemilang ini.

2.    Bertepatan dengan tema pada edisi kali ini “Sustainable Organization Excellence in Netball”  telah membuktikan keupayaan kita dalam pelbagai aspek kelestarian termasuk di dalam kelestarian penganjuran acara sukan besar sebegini. Keupayaan pelajar di dalam menganjurkan kejohanan bertaraf dunia ini harus diberi pujian dan saya mengambil maklum akan peranan semua pihak yang telah membantu di dalam melatih pelajar-pelajar ini. Keupayaan dan penglibatan pelajar dalam penganjuran acara sebeginilah yang membezakan pelajar USM dengan pelajar-pelajar lain. Ini bukan sahaja memberi pengalaman malah turut membina sahsiah dan mematangkan pelajar di dalam memahami realiti dalam kehidupan sebenar.

3.    Dalam kesempatan ini saya ingin menyeru anak-anak muda yang berada di hadapan saya ini untuk memikirkan sesuatu yang baru untuk edisi Pesta Bola Jaring pada masa hadapan. Benar kita telah berjaya di dalam pengajuran beberapa kejohanan sukan yang besar dan bertaraf dunia. Namun, kita tidak harus berasa selesa dengan kejayaan ini. Banyak lagi kejayaan besar lain yang boleh kita capai menerusi idea dan kreativiti. Pesta Bola Jaring perlu mencari ‘niche’ perbezaan yang tersendiri dan perlu dijadikan sebagai ikon mewakili negara. Bagaimana untuk menjadikan Pesta Bola Jaring sebagai ikon kejohanan sukan negara agar ia lebih dirasai oleh masyarakat dunia harus difikirkan mulai sekarang.
4.    Dalam pasa masa yang sama, saya fikir kita juga harus mengembangkan keupayaan kejohanan-kejohanan besar ini ke arah sukan-sukan lain yang ada dan turut ditawarkan di USM. Saya masih ingat, USM dahulunya turut sama terkenal dengan acara Ragbi. Begitu juga dengan sukan renang. Kembangkan agar kita turut mempunyai kejohanan-kejohanan besar di dalam acara-acara sukan yang lain. Sehingga kini, ruang ini masih belum benar-benar diterokai oleh mana-mana universiti tempatan. Gunakan peluang ini agar kita boleh menjadi peneraju dan bukannya mengikut acuan pihak lain.

5.    Saya juga ingin menyeru agar agar kita dapat mencari jalan untuk berbakti kepada masyarakat menerusi sukan. Ia dapat kita adakan dengan cara yang pelbagai termasuk di dalam pemindahan ilmu. Mungkin kita dapat mengadakan klinik-klinik sukan secara percuma kepada anak-anak muda di luar sana yang berpotensi menjadi atlit negara tetapi kurang mendapat pendedahan. Saya difahamkan USM turut mempunyai Kelab Skuba di kampus ini dan kampus Kejuruteraan. Mungkin mereka ini boleh menganjurkan program-program tertentu seperti bengkel teknik pembersihan dasar laut di peringkat nasional dan antarabangsa bagi melatih mereka yang berminat khususnya yang terlibat di dalam dunia perlancongan. Proses pemindahan ilmu ini bukan sahaja akan membawa kekayaan intelek kepada masyarakat, malah uga akan menyumbang secara tidak langsung kepada pembangunan negara. Harus juga kita ingat, sukan mempunyai kuasa besar di dalam memajukan sektor ekonomi negara.

6.    Sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua. Kepada penaja utama Nestle Products (M) Sdn. Bhd. Serta semua penaja sampingan, terima kasih yang tidak terhingga dan kita berharap sokongan ini akan diteruskan dan diperluaskan untuk tahun-tahun mendatang.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum wahrahmatulallahi wabarakatuh. Terima kasih.