MEMBANGUN UMAT TANGGUNGJAWAB BERSAMA
TEKS UCAPAN
NAIB CANSELOR UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM),
PROF. DATO' DR. OMAR OSMAN DI MAJLIS SAMBUTAN MAULID
AL RASUL 1433 PERINGKAT UNIVERSITI PADA HARI ISNIN! 19 MAC 2012
DI DEWAN TUANKU SYED PUTRA USM PULAU PINANG
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor Shariff,
Y.Bhg. Puan Sri Fawziah Begum Mohd Abu Bakar.
Yang dimuliakan penceramah jemputan kita pada petang ini,
Y.Bhg. Dato' Dr. Fatma El - Zahra Mouhamad Ramadhan,
Pegawai-pegawai utama universiti,
Prof. Madya Haji Nasirun Haji Salleh, Pengarah Pusat Islam,
Pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa sambutan Maulidur Rasul USM
Hadirin, hadhirat yang dimuliakan,
1) Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah swt. kerana atas limpah rahmatNya dapat sama-sama kita meraikan sambutan Maulidur Rasul yang penuh bermakna ini. Selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah s.a.w, kaum keluarga, para sahabat serta para anbiya. Saya ingin mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Y.A.Bhg Toh Puan yang sentiasa melapangkan masa untuk bersama-sama kita dalam pelbagai aktiviti di kampus USM ini.
2) Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan majlis kita ini, terutamanya penceramah jemputan Y.Bhg Dato' Dr. Fatma El zahra, Saudara Iwan Syahman yang menyampaikan lagu-lagu dangdut dengan mesej yang bermakna kepada kita semua dan Saudara Ahmad Fedri Yahya selebriti TV3 yang juga alumni USM dan mencungkil bakatnya di Dewan ini. Juga kepada pasukan marhaban dan semua yang membuat persembahan, saya ucapkan jutaan penghargaan.
3) Saya fikir, sambutan seperti ini harus digunakan sepenuhnya untuk mengembalikan segala seni budaya yang telah kita warisi yang berteraskan Islam yang sesetengahnya kian kita lupakan. Kita juga perlu mengembalikan peranan kesenian Islam secara lebih luas apatah lagi tatkala kita berusaha untuk mengembalikan kearifan tempatan yang berteraskan Islam sebagai satu lagi usaha Universiti untuk memartabatkan kembali segala milik kita yang makin terhakis selama ini.
4) Saya bersyukur kerana apabila kita membuat pemetaan hubungan antarabangsa kita di seluruh dunia, di dapati Arab Saudi menjadi negara kedua yang terbesar selepas Jepun. Lawatan ke Arab Saudi baru-baru ini menyerlahkan lagi usha kita untuk mengukuhkan kerjasama, kepakaran dan kekuatan sesama negara Islam yang seharusnya diperkasakan. Justru, kita berharap membangun kekuatan universiti di sana bagi tujuan tersebut. Misalnya dalam pertemuan dengan pihak berkaitan, kita dapati peluang untuk menjayakan aktiviti seperti mana kejayaan menawarkan program perubatan dengan satu pihak di India boleh kita lakukan di Saudi, kemungkinan untuk program Kejururawatan. Pada masa yang sama penyelidikan haji dengan Umm AlQura akan kita teruskan dan mantapkan lagi demi faedah umat Islam sejagat.
5) InsyaALLAH kita berusha untuk membawa Datuk Bandar Mekah untuk memberikan syarahan di Dewan ini sekitar bulan Julai nanti. Secara lisan, beliau telah pun bersetuju dan marilah kita doakan agar ia menjadi kenyataan untuk membolehkan kita sama-sama mengukuhkan ikatan yang ada dan pada masa yang sama mengikuti terus bagaimana pembangunan Makkah dilaksanakan untuk faedah umat Islam.
Hadirin yang dimuliakan,
6) Yang penting ialah untuk kita perkukuhkan usaha yang dilakukan secara bersama, membina kekuatan ilmu yang ada dan memanfaatkan untuk faedah umat Islam seluruhnya. Umat Islam perlu bangunkan kekuatan bersama untuk menyelesaikan segala kemelut yang ada, menghadapi pelbagai cabaran dan mencari jalan penyelesaian melalui penggunaan ilmu pengetahuan. Hanya dengan ilmu pengetahuan yang dimanfaatkan, maka kita dapat berdiri secara lestari dalam memastikan kita menjadi umat yang kuat dan relevan. Apatah lagi tatkala pelbagai pihak menjadikan umat Islam sebagai kambing hitam, memperlekehkan dan memberikan pelbagai label dan gelaran walau pun hakikatnya umat Islam tidak pernah memulakan sebarang episod keganasan dan perang seperti Perang Dunia mahupun lain-lainnya selain dari dituduh dan dilabelkan oleh pelbagai media atau bertindak atas provokasi pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri.
7) Oleh itu, saya fikir, menjadi tanggungjawab kita tanpa putus asa atau mengalah untuk meneruskan usaha mengembalikan maruah dan martabat umat Islam melalui penggemblengan tenaga dan kekuatan bersama terutamanya melalui ilmu pengetahuan secara bersama-sama. Kita tidak mampu lagi bergerak sendirian atau silo,tetapi memerlukan tenaga bersama bagi tujuan tersebut. InsyaALLAH,USM komited untuk mencapai hasrat ini dan marilah kita bersama-sama lakukannnya dengan tulus ikhlas demi kerana DIA semata-mata. Kita harus kembali kepada ajaran Rasulullah saw yangmendidik kita untuk berkasih sayang dalam iman dan bersatu melalui ajaran Islam yang menjunjung tinggi ilmu pengetahuan sebagai tanda mencintai Allah swt dan Rasulullah saw.
8) Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah swt memberkati usaha kita ini. Sekali lagi bagi pihak Universiti saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan. Begitu juga kepada Y.Bhg. Puan Sri Fawziah Begum yang juga alumni universiti kita yang sudi melapangkan masa di sini. Tidak lupa sekali lagi kepada penceramah jemputan dan semua yang memberikan bantuan dan sokongan menjayakan acara kita ini. Syabas dan tahniah kepada Pengarah Pusat Islam dan semua yang berusaha gigih untuk sambutan ini.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Sub Menu
- Top Management
- University Profile
- USM e-News
- Making a Difference...
- USM Emblem
- Mission & Vision
- USM Videos
- Clients Charter
- News Archive
- Website Policy
- VC's Views & Comments
- FAQ

