Text Size
  • Versi Bahasa
  • English Version

UCAPAN NAIB CANSELOR PADA MAJLIS ULANGTAHUN KE-25 PENYELIDIKAN ARKEOLOGI USM

DRAF UCAPAN Y.BHG. PROF. DATO’ OMAR OSMAN, NAIB CANSELOR, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA DI MAJLIS ULANGTAHUN KE-25 PENYELIDIKAN ARKEOLOGI USM DAN PERASMIAN GALERI MAKMAL ARKEOLOGI USM

SELASA, 3 APRIL 2012, 10.00 PAGI

BANGUNAN B09, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA



 

Bismillahirahmanirrahim.

 

Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Yang Berbahagia Prof. Emeritus Datin Paduka Zuraina Majid

Pesuruhjaya Warisan Negara

 

Timbalan-timbalan Naib Canselor

Universiti Sains Malaysia

 

Yang Berusaha Prof. Mokhtar Saidin

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global

Universiti Sains Malaysia

 

Para kenamaan, Pegawai-Pegawai Utama Universiti Sains Malaysia, para pelajar, sidang hadirin yang dihormati sekalian.

 

  1. Izinkan saya memulakan ucapan dengan lafaz setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana di atas limpah dan perkenannya membolehkan kita bersama-sama dalam Sambutan Ulangtahun Ke-25 Penyelidikan Arkeologi USM dan Perasmian Galeri Makmal Arkeologi USM pada hari ini. Bagi pihak Universiti saya juga mengalu-alukan kedatangan Y.Bhg. Prof. Emeritus Datin Paduka Zuraina Majid, Pesuruhjaya Warisan Negara kembali ke USM. Saya yakin nama USM terpahat kukuh di hati Y.Bhg. Prof. Emeritus Datin PAduka Zuraina Majid yang juga adalah peneraju utama dalam bidang arkeologi dan juga pengasas pusat yang telah sedia ada hari ini di USM. Kesudian Y.Bhg. Prof. Emeritus Datin Paduka Zuraina Majid untuk kembali menjengah kami di sini atas kesudiannya “kembali” sekejap menjenguk PPAG dan USM ini amat kami hargai.

 

Sidang hadirin yang dimuliakan,

 

  1. Dalam kesempatan ini saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada rakan-rakan di Pusat Penyelidikan Arkeologi USM yang diketuai oleh Prof. Mokhtar Saidin kerana telah acapkali memaknakan penyelidikan arkeologi di negara ini. Namun, saya fikir semua ini tidak akan tercapai jika tidak dimulakan oleh Y.Bhg. Prof. Emeritus Datin Paduka Zuraina Majid sejak 25 tahun dahulu. Tanpa kesungguhan dan komitmen beliau pada masa itu mustahil kita dapat melihat apa yang ada pada hari ini tentang arkeologi negara, khasnya arkeologi di USM. USM sangat berbangga dengan kemajuan yang ditunjukkan oleh PPAG sepanjang tempoh 25 tahun yang lalu.

 

YB. Dato’ dan hadirin sekelian,

 

  1. Sepanjang 25 tahun penyelidikan, PPAG telah berjaya memberikan impak kepada dunia penyelidikan arkeologi tempatan malah juga di peringkat dunia. Ini secara langsung telah membantu melonjakkan nama universiti sebagai universiti penyelidikan terulung di negara ini. Model penyelidikan arkeologi yang menggabungkan sains dan sastera adalah contoh sebenar penyelidikan multidisiplin yang berjaya.

 

  1. Perasmian Galeri Arkeologi USM ini adalah saat yang sangat ditunggu-tunggu oleh USM sebagai satu lagi produk penyelidikan. USM sentiasa terus menyokong usaha ke arah mempelbagaikan hasil penyelidikan khasnya untuk tatapan masyarakat awam. Memandangkan USM adalah satu-satunya universiti yang mempunyai pusat penyelidikan arkeologi di negara ini maka pameran terkini di Galeri Arkeologi USM ini sebenarnya mewakili pameran arkeologi seluruh negara. Adalah diharapkan kemudahan ini akan diambil peluang oleh staf dan pelajar USM, serta pelancong tempatan dan luar negara.

 

  1. Perasmian Makmal Sains Arkeologi pada hari ini yang merujuk kepada 3 peralatan saintifik baru- XRD, XRF dan SEM adalah sebagai tanda kecemerlangan USM dalam penyelidikan yang saintifik. Saya berharap ianya dapat melonjakkan PPAG ke arah penyelidikan bertaraf dunia pada masa hadapan. Pada masa hadapan diharapkan makmal ini akan menjadi rujukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa daripada segi penyelidikan artifak kerana mempunyai kemudahan yang lengkap. Juga diharapkan atas dasar “kongsi sama” – 3 peralatan baru ini akan dapat digunakan bersama oleh penyelidik lain di USM.

 

  1. Saya fikir apa yang telah ditunjukkan oleh PPAG USM ini amat bermakna kepada negara. Ini menunjukkan bahawa kita, sebagai anak tempatan mampu untuk menghasilkan penemuan-penemuan bertaraf dunia. Sejak penemuan Perak Man di Kota Tampan pada tahun 90an, tapak penempatan Bukit Bunuh pada tahun 2001, penemuan kapak gengam pada tahun 2009 dan pelbagai lagi menunjukkan negara ini kaya dengan pelbagai misteri yang masih belum dirungkai. Proses merungkai dan menjawab pelbagai persoalan ini telahpun berjaya kita lakukan sehingga Malaysia kini menjadi lokasi rujukan dunia dalam bidang Arkeologi.

 

  1. Saya fikir kita perlu berbangga dengan pencapaian ini. Sejak tahun 1987, Arkeologi USM telah menemui sejumlah 27 tapak penyelidikan Arkelogi. Pembinaan Galeri yang berada dengan kita ini juga sekaligus menjadikan USM sebagai satu-satunya Universiti di Asia tenggara yang memiliki galeri khusus berhubung penyelidikan dunia Arkeologi. Berikan tepukan yang gemuruh di atas pencapaian yang cukup membanggakan ini.

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan,

 

  1. Saya juga difahamkan pada majlis ini akan dilancarkan program “Sahabat Arkeologi USM” dan penerbitan “Siri Arkeologi Perdana”. Kedua-duanya adalah sangat membanggakan USM. Sahabat Arkeologi memberikan peluang kepada masyarakat umum terlibat sama dalam arkeologi negara. Tahniah kepada sekolah yang akan melibatkan diri. Pelancaran penerbitan Siri Arkeologi Perdana juga untuk membolehkan bukan sahaja penyelidik dan akademik mengetahui hasil terbaru PPAG malah juga untuk masyarakat umum. Tahniah kepada PPAG.

 

  1. Akhir kata, bagi pihak USM, sekali lagi diucapkan berbanyak terima kasih kepada YBhg. Prof. Emeritus Datin Paduka Zuraina Majid kerana sudi bersama kami hari ini. Ucapan tahniah kepada semua keluarga PPAG dan selamat maju jaya untuk menempuh pelbagai cabaran masa depan.

 

  1. Dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Sambutan Ulangtahun Ke-25 Penyelidikan Arkeologi USM

 

Sekian. Terima kasih.

Site Login