Text Size
  • Versi Bahasa
  • English Version

PERKONGSIAN APEX BERSAMA MENTERI - UCAPAN NC

TEKS UCAPAN Y.BHG PROFESOR DATO' OMAR OSMAN,
NAIB CANSELOR UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM)
DI MAJLIS PERKONGSIAN INISIATIF TERPILIH APEX USM PADA HARI SELASA, 8 MEI 2012, JAM 9.00 PAGI
DI HOTEL PAN PACIFIC KLIA

 


 
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera,

Naib-Naib Canselor Institusi Pengajian Tinggi
 
Para Kenamaan, Pegawai-pegawai Utama Universiti, Sidang hadirin dan hadirat yang dirahmati sekalian.
 
1. Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana akhirnya hajat USM untuk berkongsi sebahagian dari inisiatif Pemacuan untuk Kecemerlangan atau APEX yang dipikul oleh kita dengan rakan-rakan dan masyarakat akhirnya dapat direalisasikan hasil kerjasama Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi terutamanya Jabatan Pengajian Tinggi, Bahagian Governon dan Pejabat Pengurusan Projek atau PMO yang banyak membantu USM selama ini dengan memberi kepercayaan, memantau, memberi maklum balas serta bersama-sama menggalas harapan dan keyakinan untuk mengubah senario pengajian tinggi negara.
 
2.   Tugas ini bukan mudah. Apa yang kita kongsikan ini adalah sebahagian dari usaha kita selama ini. Perkongsian ini tentunya dapat memberi  peluang kepada tuan-tuan dan puan-puan mendengar sendiri pengalaman mereka  terlibat secara langsung dalam merancang dan melaksanakan  sebahagian dari proses yang dilalui, untuk tuan-tuan dan puan-puan memberikan maklum balas dan tentunya untuk kita berkongsi bagi faedah bersama. Ia tidak bertujuan untuk mendabik dada, jauh sekali merasa mencukupi terhadap apa yang kita lakukan ini.
 
3. Saya cuma mengharap tuan-tuan dan puan-puan melihatnya dengan terbuka dan mengambil iktibar daripadanya untuk kita sama-sama lakukan anjakan pemikiran terhadap proses pengajian tinggi negara. Ini adalah sebahagian dari sikap keterbukaan dalam merealisasikan transformasi pengajian tinggi dengan fokus utama kita agar ia lestari dan pada masa yang sama diletakkan pada perspektif yang betul.
 
4. Ini termasuklah melihat pengajian tinggi sebagai agen perubahan dalam memastikan kelangsungan hidup manusia dan dunia seluruhnya. Bahawa pengajian tinggi mampu melahirkan manusia yang melihat isu kemanusiaan dan alam sebagai sebahagian dari peranannya yang utama, yang melihat bahawa kelangsungan masa hadapan kita seluruhnya bergantung kepada keupayaan kita menggunakan ilmu pengetahuan untuk melakukan perubahan. Juga bagaimana ilmu pengetahuan dapat digunakan untuk menjadikan kita lebih prihatin, rasional dalam tindakan dan bergabung tenaga dengan meletakkan kepentingan manusia, alam dan kelangsungannya menjadi keutamaan bersama dengan menggunakan ilmu pengetahuan.
 
5. Kerana itu, penubuhan Dewan Perundingan Pelajar misalnya sangat penting dalam mendidik pemimpin masa depan untuk berdebat secara rasional, sistematik dan terbuka. Anak-anak muda kita dididik agar memghargai kebebasan dan kepelbagaian yang ada. Mereka dididik untuk menghargai kelainan dan menghormati perbezaan pendapat. Begitu juga dengan MyCSD yang berupaya mendorong dan meletakkan satu nilai baru terhadap aktiviti pelajar. Ia membolehkan kita menjadikan penglibatan siswa-siswi dalam pelbagai aktiviti kampus menjadi lebih terancang dan bermakna dan holistik. Ini lebih bermakna dengan adanya inisiatif Pimpin Siswa dan Program Keusahawanan yan memberi peluang siswa-siswi kita menerokai potensi diri sepenuhnya yang merentasi kursus pengajian dan sempadan geografi asalnya mahu pun keturunan dan budaya secara bersama tanpa perlu dilabelkan dengan segmentasi konvensional. Inilah indahnya kehidupan kampus bagi anak-anak muda ini yang sebahagian besarnya dilakukan secara sukarela.
 
6.  Tentunya ia bukan satu usaha yang mudah. Isu-isu kelestarian misalnya sangat abstrak dan payah untuk difahami. Apatah lagi menterjemahkan dengan kata-kata yang senang untuk kita visualkan. Justru kita berusaha sekeras-kerasnya untuk membolehkan ia diterjemahkan dalam tindakan, dinilai dan dijadikan amalan hidup kita. Kita dapat lihat bagaimana ia difahami dan dikongsi aspirasinya melalui sesetengah aktiviti yang kini menjadi dasar negara. Penubuhan Pusat Kajian Kelestarian Global atau CGSS ialah salah satu usaha kita untuk meningkatkan kefahaman terhadap isu ini. CGSS bukan sahaja melihat isu kelestarian sebagai isu global, tetapi juga berusaha mendidik masyarakat terhadap peranan ilmu dan orang ramai dalam mencari menyediakan penyelesaian isu-isu yang dengan memanfaatkan idea dan sumber tempatan.
 
7. Perkongsian ini tentunya tidak meliputi seluruh inisiatif yang dilakukan oleh USM dalam tempoh 3 tahun ini. Walaupun kita bawakan juga tentang usaha transformasi pengukuhan bakat dan tadbir urus serta pengajian siswazah, hal-hal yang berkaitan dengan penyelidikan dan inovasi serta libat sama komuniti dan industri yang terkandung dalam dokumentasi yang akan kita lancarkan petang ini tidak dapat kita ketengahkan dalam sesi pagi ini kerana memerlukan forum lain dan masa yang lebih panjang. Namun begitu perkara asas dalam semua usaha ini ialah Perlembagaan Universiti yang telah diwartakan pada Jun 2011. Penggubalan governan baru USM memberikan implikasi besar dalam tadbir urus USM yang diikuti oleh usaha transformsi menyeluruh pentadbiran dan pengurusan keseluruhannya.
 
Saudara-saudari sekalian,
8. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan atas usaha gigih semua yang terlibat menjayakan inisiatif, penulisan dan penerbitan buku inisiatif terpilih APEX serta seluruh tenaga yang terlibat menjayakan majlis ini termasuk para pegawai dan staf di Bahagian Governan, PMO dan tentunya Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Y.Bhg.  Profesor Dato Rujhan Mustaffa. Yang paling utamanya tentunya tuan-tuan dan puan-puan yang sudi melapangkan masa bersama-sama kita pada pagi ini sehingga petang nanti. Kami amat terhutang budi dan berterima kasih. Semua inisiatif ini kami dedikasikan kepada masyarakat dan negara yang prihatin terhadap pengajian tinggi dan menyokong usaha transformasi yang dibuat demi kelangsungan dan kelestarian manusia sejagat. Semoga Allah swt merahmati usaha yang dilakukan ini.
 
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya rasmikan Seminar Perkongsian Inisiatif Apex 2012. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahibarakatuh.

Site Login