DARI BUKIT KE PILI AIR: USM BANTU ORANG ASLI SUNGAI SIPUT

Menyusuri jalan ke Kampung Langkor, Sungai Siput Perak, yang menjadi lokasi kerja warga Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang membina empangan dan penapis air (Horizontol Roughing Filter) untuk menyalurkan bekalan air bersih kepada kira-kira 141 penduduk orang asli dari 31 keluarga di situ, kelihatan pada awalnya tidak sesukar disangka.
Dengan kehadiran pelbagai kenderaan seperti bas, kereta dan juga motosikal, penulis menyifatkan perkampungan ini bukan lagi seperti yang digambarkan dengan masyarakat orang asli sekitar 10 hingga 20 tahun dahulu.
Pun begitu, akses bekalan air bersih ke kawasan penempatan yang dibuka lebih 20 tahun dahulu oleh kaum Jahai di Perak itu masih perlu dipertingkatkan. Bukan sekadar air, penempatan tersebut masih belum mendapat bekalan tenaga elektrik dan masyarakat orang asli di situ menggunakan generator untuk menjalankan peralatan elektrik termasuk menonton televisyen.

Walaupun jalan menuju ke Kampung Langkor kian mengecil dari jalan utama, sebahagian besarnya telah berturap dan jalan tanah merah yang perlu dilalui untuk sampai ke perkampungan itu dianggarkan tidak sampai dua kilometer (km) sahaja.
Pun begitu, minda penulis berkata-kata, mengapakah tempat sejauh ini yang menjadi pilihan warga USM khususnya para sarjana yang berkepakaran tinggi dalam pelbagai bidang kejuruteraan untuk menghulurkan khidmat bakti.
Persoalan itu tidak sempat berputar lama dalam kotak fikiran kerana sebaik bertemu dengan Ketua Projek penyediaan bekalan air bersih kepada masyarakat orang asli di situ, Prof. Ir. Dr. Mohd Nordin Adlan terlebih dahulu menjawab persoalan tersebut dan menyifatkan keringat yang dikerah untuk memberi kemudahan kepada golongan minoriti itu sangat bertepatan dengan hasrat universiti untuk memperkasa golongan terkebawah.

``Tempat bukan alasan, selagi ada pihak yang memerlukan kepakaran dan bantuan, kita akan cuba penuhi kerana ilmu yang ada jika tidak dicurahkan kepada masyarakat, ia diibaratkan seperti menyimpan khazanah yang sia-sia. Tambahan pula, kepakaran yang ada dapat digunakan untuk menambahbaik kualiti hidup masyarakat orang asli di sini, khasnya dalam mendapatkan bekalan air bersih ke setiap pili-pili air di rumah mereka,’’ katanya.
Perihal cerita dan usaha murni memperkasa kehidupan orang asli di situ diteruskan dengan perjalanan menuju ke lokasi pembinaan empangan yang dilengkapi unit penapisan khas hasil rekabentuk yang dibangunkan akademia Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA), USM. Di sinilah bermulanya satu pendakian ke atas bukit yang berketinggian kira-kira 333m di atas paras laut berbanding kampung Langkor yang terletak pada kedudukan 153 di atas paras laut.
Pendakiannya bukan mudah kerana hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja yang boleh sampai hingga ke puncak empangan. Tambahan pula, bentuk muka bumi dan jalan yang berbatu-batu, cabaran untuk pasukan kerja menunaikan amanah yang digalas di bahu perlu diberikan pujian, atau mungkin perlu dikenang.
``Kita melaksanakan kerja-kerja ini bukan untuk mengharapkan ganjaran dan sebagainya, jauh lagi menginginkan keuntungan. Jika ada pun, kita hanya mengharapakan masyarakat orang asli di sini dapat meneruskan kehidupan dengan kualiti yang lebih baik dari sebelumnya,’’ ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, keadaan pada masa ini mungkin jauh lebih baik daripada masa mula-mula pasukan kerja ke sini untuk meninjau tempat dan membuat jalan. Tambah beliau, pada awalnya untuk sampai ke puncak, masa yang diperlukan adalah sekitar enam hingga tujuh jam, itu pun dengan mengikut rentak dan kepantasan orang asli.
``Dengan menggunakan kepakaran dan kemahiran hutan orang asli, puncak untuk pembinaan empangan dapat diteroka, namun bukan semudah disangka. Pasukan kami pernah terpaksa berpatah balik ke perkampungan dek kerana tidak mampu mengikut kelincahan orang asli menggeledah hutan. Maklumlah, di antara pensyarah-pensyarah yang terlibat juga ada yang telah mencecah usia warga emas,’’ ujanya dalam jenaka.
Mohd. Nordin berkata, banyak rintangan yang berlaku sepanjang pasukannya menjalankan kerja-kerja di situ, bermula dengan usaha menyediakan jalan sehinggalah kepada kerja-kerja pembinaan, yang mana semuanya dilakukan sendiri oleh akademia PPKA dengan dibantu oleh kakitangan USM dan masyarakat orang asli di situ.
``Konsep yang saya pakai amat mudah, iaitu dengan mengambil kira tangungjawab yang digalas adalah sebagai seorang jurutera. Jika saya menjalankan kerja dengan mengambil kira diri saya sebagai seorang jurutera, saya akan melakukannya dengan teliti dan mengambil kira semua aspek termasuk keselamatan, etika, tanggungjawab dan sebagainya bagi memastikan projek yang dijalankan berjaya tanpa sebarang masalah dan kepincangan.
``Sebagai seorang jurutera, saya juga tidak akan hanya pejam mata jika sekiranya ada walau sedikit kepincangan pada projek, kerana kepincangan kecil itulah yang akan menyebabkan timbulnya satu masalah besar di masa depan. Konsep yang sama saya terapkan dalam kalangan rakan kerja dan anak-anak buah yang terlibat dalam projek tersebut,’’ jelas beliau.
Tambah beliau, penapis air tersebut dihasilkan dengan kepakaran yang ada dalam kalangan akademia USM dan ia berfungsi secara sistematik melalui beberapa peringkat termasuk menyaring, mengangkut dan menyerap partikel-partikel yang wujud dalam air yang disalurkan dari empangan puncak bukit tersebut. Kos keseluruhan pembinaan penapis air itu sehingga kini dianggarkan mencecah RM165,000.
Mengulas liku-liku di sebalik niat murni dalam membantu masyarakat terpinggir itu, beliau berkata, antara cabaran utama yang harus ditangani termasuk mencari sumber kewangan tambahan, selain dari peruntukan berjumlah RM 43,455 yang diterima PPKA dari Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM.
Rintangan tersebut juga tidak menghalang pasukan kerja bagi projek tersebut menjalankan kerja-kerja permulaan pada 9 Jun yang lalu. Dalam masa yang sama, pihak pengurusan projek turut berusaha bagi merayu peruntukan tambahan dari pihak universiti dan juga Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP).
Mohd.Nordin turut berkata, untuk membuat rayuan mendapatkan dana dari pihak JKNP, pihaknya telah mengadakan pembentangan dengan memperlihatkan kejayaan-kejayaan projek terdahulu melibatkan proses yang hampir sama yang dijalankan di penempatan orang asli Kuala Kubu Bahru, iaitu untuk menyediakan bekalan air bersih dengan menggunakan kepakaran teknologi USM (horizontal roughing filter).
Teknologi berkenaan turut mendapat pelbagai pengiktirafan, termasuk dianugerahkan dengan pingat gangsa dalam Ekspo Sains, Teknologi dan Inovasi yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada tahun 2004.
“Kita turut berdepan masalah kekurangan bahan mentah untuk projek di Kampung Langkor memandangkan kerja-kerja pembinaan membabitkan bahan-bahan habis guna seperti kayu, keluli, simen, pasir, dan acuan untuk struktur konkrit. Itu tidak termasuk kos makan minum kakitangan dan para pelajar yang terlibat ’’ ujar beliau.
Tambah beliau, kos itu hanya sebahagian kecil dari sejumlah kos yang diperlukan bagi membawa masuk generator khas untuk menyalurkan kuasa elektrik bagi menjalankan kerja-kerja penggerudian di tapak projek, selain kos-kos tidak diduga seperti yang berlaku dalam insiden kehabisan klac kenderaan pacuan empat roda yang memerlukan pembaikan segera untuk meneruskan operasi.
``Kita turut merasai sedikit kejutan, juga melibatkan kos-kos sampingan. Kampung berkenaan terletak kira-kira 30 minit dari kawasan Sungai Siput Utara dan untuk mendapatkan sumber air, kenderaan pacuan empat roda diperlukan untuk melalui kedudukan geografi yang sukar di situ. Kenderaan pacuan empat roda juga tidak mampu sampai hingga ke titik akhir dan pasukan kerja perlu berjalan melalui trek hutan selama 30 minit untuk sampai ke tapak projek pembinaan struktur paip air tersebut.
Mohd. Nordin turut berkata, projek ini turut melibatkan JKNP dan Jabatan Pembangunan Orang Asli (JAKOA), selain penglibatan staf-staf akademik, teknikal, para pelajar ijazah dan pasca siswazah USM secara bergilir-gilir.
Perkara paling signifikan dalam projek ini adalah ia kali pertama buat staf dan pelajar USM bergabung dan terlibat secara langsung dalam kesemua proses kerja seperti merekabentuk, membina dam mengawal-selia projek komuniti berkenaan secara konsisten.
``Dari kerja-kerja membancuh simen, memasang paip, membina pondok teduhan dan menyimpan barang, menyelam ke dalam air dan sebagainya, semuanya dilakukan oleh pasukan kerja USM, kita tidak mengupah sesiapa untuk melakukannya. Makanan para petugas di sini pun adakalanya dimasak sendiri di lokasi kerja dan ia membuatkannya suasana menjadi lebih seronok.
``Calon PhD tertentu pula akan ditugaskan bagi membuat pemantauan pasca-projek, yang juga menjadi sebahagian daripada subjek dalam kajiannya,’’ ujarnya sambil menegaskan jika sekiranya projek itu berjaya kelak, ia akan memberikan impak yang cukup besar terhadap pembangunan teknologi rawatan air untuk manfaat komuniti yang memerlukan.
Tambah beliau, para petugas khususnya pelajar dan kakitangan PPKA ditempatkan di kompleks penginapan (asrama) JAKOA di pekan Sungai Siput. Tempat penginapan juga dilengkapi dengan dewan makan yang juga digunakan sebagai dewan untuk perbincangan dan sebagainya.
Orang asli Kampung Langkor akan mendapat saluran air yang bersih mengalir dari pili air di rumah-rumah mereka setelah projek komuniti ini dijangka selewat-lewatnya awal Ogos depan. Teknologi dari menara gading ke komuniti ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kerisauan masyarakat orang asli untuk mendapatkan akses air dengan lebih mudah, yang mana ia adalah hak asas untuk semua masyarakat.
Sementara itu, wakil JNKP, ketika ditemui di lokasi tersebut turut berkata, pihaknya amat berterima kasih di atas komitmen USM dalam menjayakan projek tersebut, khususnya datang dari jauh dengan satu kerja yang tidak dijanjikan apa-apa pulangan melainkan rasa puas hati kerana dapat memberi impak kepada pembangunan masyarakat secara keseluruhannya.

``JKNP memang telah lama terlibat dalam kerja-kerja pembekalan air masyarakat namun yang membezakan dengan projek bersama USM adalah dari aspek sistem penapisan yang digunakan.
Pada kebiasaannya pihak JKNP membekalkan air dengan menyalurkan air dari empangan ke paip-paip utama manakala untuk projek kali ini, lokasi empangan dinaikkan lagi ke puncak bagi mendapatkan bekalan air yang benar-benar terhindar dari ancaman bahan kimia daripada projek penanaman kelapa sawit di empangan yang sedia ada,’’ ujar beliau.
Katanya, matlamat utama projek yang dibangunkan USM, JKNP dan JAKOA tersebut adalah untuk menyediakan air yang bersih dan selamat untuk digunakan oleh masyarakat orang asli.
Pihak JKNP juga sentiasa memberi kesedaran kepada masyarakat orang asli untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan menggunakan air yang dimasak terlebih dahulu dan sebagainya. Secara keseluruhannya, tahap kualiti hidup orang asli sentiasa diperbaiki dan sehingga kini ia jauh berbeza dari satu ketika dulu dan secara kasar boleh dikatakan penyakit bawaan air sudah jarang berlaku dalam kalangan masyarakat orang asli di negeri itu.
Penasihat Projek ini ialah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Hamidi Abdul Aziz. Ia diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Mohd Nordin Adlan, manakala Ketua Rekabentuk Empangan ialah Prof. Ir. Dr. Md Azlin Md Said, Ketua Pengalihan Air Sungai Prof. Ismail Abustan; Ketua Rekabentuk Horizontol Roughing Filter Prof. Madya Taksiah A. Majid, Ketua Bahagian Kualiti Air Prof. Madya Dr. Mohd. Suffian Yusof, Ketua Bahagian Kerja Konkrit Dr. Fatimah Denan, Ketua Bahagian Aspek Sosial Dr. Azlinda Azman dan Rekabentuk Hidraulik dan Hidrologikal dilakukan oleh calon Ijazah Tinggi Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam.

