USM KOMITED BANTU NEGARA PALESTIN, PERKUKUH JENAMA DI INDIA

KUBANG KERIAN, 29 Jan - Universiti Sains Malaysia (USM) komited membantu negara Palestin dalam membangunkan semula struktur sosial negara itu.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, dengan adanya kepakaran dan sumber di USM, banyak ruang-ruang ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk kesejahteraan sejagat.
Katanya, USM tidak hanya berfokus kepada usaha membantu golongan terkebawah dalam negara, sebaliknya turut melihat kepada negara-negara yang memerlukan.
``Melalui kerjasama ini USM akan menawarkan tempat kepada rakyat Palestin yang berkelayakan dalam bidang perubatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) manakala Cakna Palestin pula akan menaja yuran pengajian mereka.
``Setakat ini USM telah pun melatih enam orang siswa Palestin dalam Program Latihan Kepada Rakyat Palestin dalam bidang Ortopedik,Fisioterapi dan Rehabilitasi,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis penandatanganan memorandum persefahaman di antara USM dengan Cakna Palestin dan James Lind Institute di Kampus Kesihatan, Kelantan, baru-baru ini.
Mengulas kerjasama dengan James Lind Institute pula, beliau berkata, institusi penyelidikan kajian klinikal di India itu berhasrat untuk berkongsi kepakaran dan ilmu dengan PPSP serta melihat pendekatan program pembelajaran bagi pasca siswazah perubatan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Cakna Palestin Kelantan, Nazri Deraman dan Dekan Kehormat James Lind Institut, Dr. Tufail Syed.

