CLEAN ROOM TEPATI SYARAT ANTARABANGSA

KUBANG KERIAN, 29 Jan – Pelaksanaan bilik bersih (Clean Room) bagi pemprosesan tisu di Bank Tisu, Universiti Sains Malaysia (USM) sejak setahun lalu menepati syarat dan peraturan antarabangsa.
Menurut Penyelaras Bank Tisu, Prof. Madya Suzina Sheikh Ab. Hamid, pihaknya telah mula melaksanakan clean room pada tahun lalu dan sehingga kini ia berjalan lancar dan mengikuti piawaian terkini untuk mengendalikan tisu gantian perubatan.
Katanya, pelaksanaan clean room itu juga selaras dengan peningkatan mutu dan kecanggihan dalam bidang perubatan yang mendatangkan pelbagai manfaat kepada masyarakat.
``Sehingga kini perkembangan dan kemajuan di Bank Tisu adalah memberangsangkan dan kita akan meningkatkan keupayaan dari masa ke semasa,’’ katanya ketika memberi taklimat ringkas sempena lawatan Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman di sini baru-baru ini.
Beliau turut berkata, taklimat kepada Naib Canselor berkenaan secara amnya melihat kepada perincian berkaitan perkembangan dan kemajuan Bank Tisu USM, selain turut disertai perbincangan untuk penambahbaikan.
Sementara itu, Bank Tisu USM mula ditubuhkan pada pertengahan tahun 1991 di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihata Kelantan dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Fungsi utamanya adalah untuk mengeluarkan dan membekalkan tisu-tisu gantian untuk keperluan negara, khususnya dalam rawatan penyakit tulang, luka lecuran, ulser, pembedahan mata dan sebagainya serta untuk kajian lanjutan.
Antara aktiviti yang dijalankan di Bank Tisu adalah proses saringan penderma tisu, perolehan tisu, pemprosesan, penyimpanan dan pengagihan tisu kepada pesakit yang memerlukan.

