PIALA MALAYSIA PENANDA ARAS USM FC

PULAU PINANG, 3 Feb – USM FC melihat cabaran untuk menempah tiket ke Piala Malaysia adalah penanda aras hala tuju pasukan yang kini masuk tahun ke-3 beraksi dalam kancah bola sepak negara.
Menjadi pasukan institusi pengajian tinggi (IPT) pertama memberi saingan dalam Liga Perdana bermula 2010, momentum USM FC kini dilihat semakin meningkat dan menyerlahkan kemampuan untuk mara lebih jauh.
Di kedudukan ke-3 dengan 10 mata selepas lima perlawanan, pengurus pasukan, Mohd. Azizudin Mohd. Shariff berkata, perjalanan USM FC masih jauh dan usaha keras perlu dilakukan jurulatih dan barisan pemain bagi memastikan rentak cemerlang kekal hingga akhir musim.
Katanya, USM FC kini dalam proses memantapkan pasukan dan ingin merealisasikan impian serta harapan peminat bola sepak di Pulau Mutiara melihat pasukan dari negeri ini bertanding dalam saingan Piala Malaysia akan datang.
``Mentaliti para pemain juga kini sudah mula beralih, jika pada dua tahun sebelum ini usaha ditumpukan kepada mencapai kedudukan terbaik Liga Perdana, namun kini para pemain dilihat menunjukkan permainan sama hebat dengan pasukan-pasukan lain.
``Namun kita dalam perancangan menambah kekuatan pasukan dan sedang menguji beberapa pemain import untuk menyuntik sengat dalam persembahan pasukan,’’ katanya ketika perjumpaan minum petang bersama Naib Canselor, Prof. Dato’ Omar Osman di sini semalam.
Naib Canselor pula berkata, beliau mengharapkan pemain memberikan sepenuh tumpuan kepada perkara yang dilakukan, selain menjaga nama baik diri serta nama institusi yang dibawa.
Katanya, pengurusan universiti mahu melihat USM FC muncul sebagai satu pasukan yang dicontohi termasuk dalam hal-hal melibatkan kewangan, mentaliti, semangat juang dan sebagainya.
``Biar kita dilihat sebagai satu pasukan yang tidak berbelanja besar. Kita juga tidak memerlukan pemain yang mahal namun dalam masa yang sama mereka ini tidak ada rasa kecintaan pada pasukan dan institusi ini,’’ katanya.
Mengingatkan pasukan dalam jenaka, Omar berkata, pemain-pemain perlu menjauhi perkara-perkara negatif dan menunjukkan akauntabiliti bagi menangkis persepsi masyarakat yang melihat bola sepak dari aspek negatif.
``Jangan ada rasuah, jangan berkelahi dan jangan gadaikan maruah pasukan demi kepentingan diri. Tunjukkan pada semua yang USM FC tidak seperti itu malah kita tampil dengan satu jati diri mantap sebagai teras pasukan,’ katanya.
Sementara itu, USM FC bakal berdepan dengan Sime Darby di Stadium Selayang pada saingan Liga Perdana Isnin depan sebelum menanti kunjungan pasukan di tangga kedua liga, Pahang, Jumaat akan datang di gelanggang sendiri.

