Lawatan ilmiah di Jepun
Oleh Wan Zahidah Wan Sulaiman
PELUANG menjejakkan kaki ke negara matahari terbit, Jepun pasti tidak dilupakan 10 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM). Kunjungan menerusi satu program penyediaan makanan halal anjuran Kyoto University of Foreign Studies (KUFS) diketuai Prof Hiroaki Ikezaki membolehkan peserta melaksanakan penyelidikan dalam penyediaan makanan halal menggunakan bahan masakan Jepun.
Penulis bersama-sama rakan lain berlepas ke Kyoto, Jepun pada awal Syawal lalu dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai sebelum meneruskan perjalanan ke hotel penginapan di Seed in Kyoto Hotel.
Pengisian program itu memberi banyak pengalaman dan pengetahuan yang boleh dikongsi bersama, malah kami lebih memahami mengenai definisi halal dan memberi informasi tambahan sama ada makanan halal dapat disediakan menggunakan bahan masakan Jepun.
Tidak seperti kebanyakan program yang menyediakan perkhidmatan bas tertentu bagi memudahkan perjalanan, di Kyoto kami berpe- luang merasai pengalaman berjalan kaki sejauh berpuluh- puluh kilometer dalam sehari selain menggunakan bas awam dan kereta api sebagai pengangkutan utama kami.
Gaya hidup sihat
Berdasarkan pemerhatian, masyarakat Jepun ialah masyarakat yang menjalani gaya hidup sihat dan sangat menepati waktu. Makanan yang disediakan kurang berminyak, lebih banyak sayursayuran selain air putih atau teh hijau yang menjadi kegemaran masyarakat Jepun itu sendiri.
Bagi mencapai objektif program, kami mengikuti kuliah bersama-sama dengan mahasiswa KUFS yang turut mengikuti program itu. Kuliah pertama disampaikan Prof Hiroaki Ikezaki yang cukup komited memastikan objektif program itu tercapai kerana beliau dapat melihat potensi makanan halal Jepun untuk dipasarkan keluar.
Pensyarah kami, Azlina Md Sadik turut menyampaikan kuliah mengenai penyediaan makanan halal seperti digariskan dalam Islam selain cabaran dalam penyediaan makanan halal itu terutama di negara yang orang Islamnya ialah golongan minoriti.
Setelah tamat kuliah, semua mahasiswa USM dan KUFS dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi membincangkan mengenai penyediaan beberapa jenis masakan Jepun supaya makanan itu dapat disediakan secara halal.
Pengalaman menarik
Bahan yang dikenal pasti ialah haram mengikut hukum Islam digantikan dengan bahan halal. Perbincangan ini amat penting kerana pada hari berikutnya, kami akan mengikuti kelas masakan dan menyediakan sendiri makanan itu bersama-sama golongan ibu dan mahasiswa KUFS.
Sebelum kelas memasak dijalankan, kami dibawa ke Nishiki Market yang terletak di tengah bandar Kyoto bagi mendapatkan bahan masakan. Di pasar berkenaan, banyak barangan basah dan kering dijual termasuk ikan, sotong, udang, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Kami tidak lupa mendapatkan serbuk cili kerana ingin menyediakan makanan Jepun yang mempunyai identiti masyarakat Malaysia iaitu pedas. Menariknya ketika kelas masakan, wartawan akhbar Kyoto turut bersama-sama melihat sendiri demonstrasi masakan kami yang kemudian disiarkan di akhbar itu.
Selain mengikuti kuliah dan sesi perbincangan, kami turut dibawa ke tempat menarik dan bersejarah di sekitar Kyoto. Antaranya Kiyomizu Temple, Seiryoji Temple dan Kinkakuji Temple. Tempat itu memperlihatkan sejarah mereka sendiri dan dikunjungi oleh ramai pelawat kerana pelbagai keistimewaannya.
Antara pengalaman lain ketika kami di Kyoto ialah apabila berpeluang untuk belajar membuat tauhu dan juga kuih tradisional Jepun.
Secara keseluruhannya, kami mempelajari banyak perkara mengenai gaya hidup, makanan, kesenian dan juga kebudayaan yang diterapkan masyarakat Jepun.

