Text Size
  • Versi Bahasa
  • English Version

Malaysia mampu pindah ilmu ikut model Jerman

Oleh

 

PELUANG mengikuti delegasi Agensi Inovasi Malaysia (AIM) melalui program penambahan ilmu ke Baden-Wurttemberg, sebuah negeri yang terletak di barat laut Jerman amat bermakna kepada penulis. Baden-Wurttemberg mempunyai kira-kira 10.7 juta penduduk dengan bandar raya Stuttgart sebagai ibu kotanya.

 

Sebagai catatan, sedekad lalu penulis juga pernah mengikuti delegasi Kementerian Pelajaran untuk mengkaji sistem pendidikan di sana, terutamanya di Baden-Wurttemberg.

 

Sekembali ke Malaysia, empat kolej universiti berjaya ditubuhkan yang kemudiannya dikenali sebagai universiti teknikal hasil usaha kreatif Menteri Pendidikan daripada lawatan ke Jerman.

 

Pada 2008 pula, penulis bersama delegasi USM kembali ke Jerman dan membawa idea-idea program APEX USM yang sedang dilaksanakan sekarang. Jerman mempunyai beberapa program ala APEX yang boleh diterapkan dalam kalangan universiti di negara ini.

 

Dalam lawatan kali ini pula, penulis berpeluang meninjau perpindahan ilmu ala-Jerman. Bidang ini agak baru di Malaysia yang dikenali sebagai Program Perpindahan Ilmu di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, dengan USM mengendalikannya sebagai program APEX untuk membina budaya berkongsi ilmu dengan pemegang-pemegang taruh dalam pelbagai kemahiran seperti kejuruteraan, perubatan, pendidikan, teknologi hijau dan teknik pengurusan dengan hasrat utama untuk merakyatkan ilmu.

 

Program Perpindahan Ilmu KPT dilaksanakan dengan sokongan Unit Perancang Ekonomi (EPU) diketuai dan diuruskan oleh USM, kini memasuki tahun ketiga sebagai program pembinaan kemahiran graduan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

 

Ia amatlah berharga kepada USM sebagai sebuah Universiti APEX. Model yang digunakan sekarang diubah suai daripada model Britain dengan memfokus kepada membina kemahiran pensyarah yang memindahkan ilmu melalui modaliti keempat perpindahan ilmu, iaitu pengajaran dan latihan, perundingan dan pengkomersialan.

 

Program Perpindahan Ilmu bertema 'Ilmu untuk Semua' ini masih di peringkat awal dan impaknya sedang diteliti untuk pelebaran projek yang berpotensi bagi impak masa depan. Hari ini, terdapat hampir 140 projek yang dilaksanakan dengan hampir 100 syarikat dan 40 komuniti oleh para pensyarah dan graduan daripada 20 institusi pengajian tinggi tanah air.

 

Model Jerman yang paling menonjol dikenali sebagai Model Perpindahan Ilmu Steinbeis (MPIS) berpaksikan industri sebagai modaliti kelima. Model Steinbeis mengambil sempena ahli industri terkenal, Ferdinand Von Steinbeis yang merupakan pejuang industri kecil dan sederhana Baden-Wurttemberg dalam abad ke-19 dan telah menubuhkan Yayasan pada 1868. Yayasan ini berkubur pada 1923, namun dihidupkan semula pada 1971 dan selama 25 tahun ia diketengahkan sebagai sebuah model lestari perpindahan ilmu dan teknologi.

 

Penulis dan peserta delegasi berpeluang berjumpa dengan beberapa orang pelopor model ini seperti Prof. Johann Lohn serta mereka yang terlibat secara langsung dalam Perpindahan Ilmu Model Steinbeis sehingga berjaya mengubah landskap industri di sini menjadi ibu pejabat jenama-jenama terkenal seperti Daimler, Porshe, Bosch dan juga Carl Zeiss. Asas penting kepada MPIS ialah ia diterajui oleh sebuah yayasan yang bertindak sebagai pelantar, dengan kerjasama erat industri atau syarikat.

 

Jerman sebagai sebuah negara perindustrian yang terkenal dengan produknya di Malaysia seperti kereta Mercedes dan Porshe, peralatan elektrik seperti Osram, peralatan mekanikal seperti Bosch atau alat tulis Lamynya, adalah model unik perpindahan ilmu di antara IPT dan industri yang berupaya dilaksanakan secara dua hala. Model dari Baden-wurtemberg Jerman, menggunakan model MPIS ini kini dilaksanakan pula di negara-negara lain termasuklah Mexico, Korea, Jepun dan juga Vietnam.

 

Stuggart adalah pusat MPIS yang beroperasi melalui Yayasan Steinbes. Dari sini pula terbentuk pusat-pusat perpindahan teknologi Steinbeis besar dan kecil dalam universiti-universiti tempatan, dan Universiti Steinbeis yang dioperasi secara swasta.

 

Negeri Baden-Wurttemberg sahaja mempunyai lebih daripada 80,000 syarikat dari tahap kecil dan sederhana sehinggalah bertaraf dunia. Di sini turut terdapat dua muzium automobil iaitu muzium Mercedes dan Porshe serta beberapa galeri seni yang menyimpan khazanah daripada pelukis masyhur seperti Picasso.

 

Negeri Baden-Wurttemberg yang memusatkan perpindahan ilmu Steinbeis ini mempunyai kekuatan dalam sektor perkilangan, aktiviti penyelidikan yang intensif dengan rangkaian kluster industri yang pelbagai sehingga mampu mengubah landskap industrinya, sistem pendidikan dualisme iaitu akademik dan kemahiran yang kuat dan profesor yang dibenarkan bekerja dengan industri dan dibayar olehnya.

 

Perpindahan ilmu berasaskan keperluan industri yang berjaya di Jerman ini boleh dicontohi di Malaysia yang diasaskan kepada tiga prinsip, iaitu kekuatan industri yang menyokong dan memberi biaya, pembentukan Pusat-pusat Perpindahan (Transfer Centre) yang kini berjumlah 765 buah, dipelopori oleh Yayasan Steinbeis dan digerakkan oleh para profesor di universiti-universiti yang disokong kuat oleh pendidikan dualisme di peringkat menengah dan tertiari.

 

Universiti di Baden-Wurttemberg dan Jerman pula unik dengan kewujudannya di samping universiti Apex, universiti penyelidikan dan komprehensif, Universiti Sains Gunaan (Applied Science) dan Universiti Kooperatif yang terkenal. Kecanggihan teknologi Jerman sememangnya diiktiraf dunia, dan hari ini terdapat lebih 600 orang anak muda Malaysia berada di Jerman untuk belajar di universiti di sini, rata-ratanya dibiayai oleh Kerajaan Malaysia.

 

Kedua-dua universiti jenis Sains Gunaan dan Universiti Koperatif inilah yang mengeluarkan graduan yang sesuai dengan keperluan industri dan profesornya amat relevan kepada keperluan kemahiran industri. Hal ini disokong pula oleh para profesor dan penyelidikannya, dan industri di Jerman memanfaatkan kepakaran mereka dalam memacu pembangunan dan inovasi teknologi di syarikat-syarikat tersebut.

 

Sekarang MPIS mempunyai beratus profesor yang memberikan perkhidmatan mereka di seluruh Jerman bukan sahaja kepada syarikat besar tetapi juga kepada industri sederhana dan kecil. Uniknya MPIS ia tidak memerlukan syarikat yang ditubuhkan di universiti mahu pun oleh pensyarah untuk melaksanakan program tetapi dinaungi oleh Yayasan Steinbeis yang mengenakan yuran perkhidmatan yang kecil untuk menguruskan akaun, pengurusan dan tanggungan am serta mengawal selia etika.

 

Dengan memayungi program perpindahan ilmu dengan industri melalui penubuhan yayasan ini, universiti tidak bertanggungjawab secara langsung kepada perkhidmatan yang diberikan profesor tetapi profesor itu sendiri yang bertanggungjawab kepada perkhidmatannya, satu inovasi pengupayaan atau empowerment yang juga di cartakan dalam Program Apex USM yang boleh diambil iktibar dan menjadi realiti.

 

Universiti akan dibayar oleh industri melalui profesor yang mengikat kontrak dengan industri, kos ammya seperti bayaran penggunaan alatan dan kemudahan universiti, depriasasi alat dan tentunya sedikit bayaran am kepada universiti.

 

Jerman dengan pembangunan dan kemajuan industrinya perlu dicontohi. Asas kepada pembangunan ini ialah kerjasama erat industri, pengiktirafan kepada kepakaran profesor dalam bidangnya, pembiayaan oleh syarikat atau kumpulan industri untuk projek penyelidikan, perundingan dan pengkomersialan, empowerment oleh kerajaan dan universiti kepada profesor.

Follow Us

tweett

Site Login