Text Size
  • Versi Bahasa
  • English Version

USM mantapkan Pusat Kawalan Doping

Georgetown: Pusat Kawalan Doping (PKD) Universiti Sains Malaysia (USM) akan berusaha mendapatkan semula akreditasi Agensi Anti Doping Dunia (WADA) bagi menjadikannya pusat rujukan analisis biokimia terkenal pada peringkat global.

Sasaran itu antara visi ditetapkan Pengarah PKD USM, Prof Bahruddin Saad, 56; yang baru dilantik menerajui pusat itu mulai bulan ini.

Beliauberkata,antaralangkah bagi mencapai hasrat itu ialah memantapkan tadbir urus PKD menerusi pengasingan tugas PKD dengan Centre for Advanced Analytical Toxicology (CAATS).

Katanya, PKD akan hanya menumpukan kepada aktiviti analisis antidoping sementara CAATS bertanggung jawab menjalankan analisis sampel lain termasuk pencemaran alam sekitar, makanan serta ujian dadah di tempat kerja.

Contohnya, CAATS menjadi makmal rujukan kepada Kementerian Kesihatan dalam menjalankan analisis dalaman sampel rumit yang memerlukan kepakaran tinggi kerana kemudahan di pusat itu mampu memenuhi permintaan berkenaan.

PKD pula perlu bekerja keras memastikan makmalnya sentiasa peka dengan perkembangan dan piawaian semasa digariskan badan akreditasi global kerana ketika ini ada lebih 100 bahan terlarang yang tidak boleh diambil atlit dan ia terus bertambah saban tahun, katanya.

Kajian lanjutan

Prof Bahruddin berkata, keutamaan kini perlu diberikan kepada usaha mengoptimumkan penggunaan peralatan sedia ada serta menggembleng kepakaran lebih 50 kakitangan pusat itu.

Tambah beliau, antara usaha dilaksanakan PKD kini ialah menjalankan program Sistem Jaminan Kualiti Dalaman (IQAS) yang membolehkan kakitangan pusat itu menjalankan proses analisis sampel mengikut spesifikasi semasa badan akreditasi.

Ia bertujuan meningkatkan kepekaan kakitangan terhadap keperluan dan piawaian semasa. Secara khusus, PKD kini berada di landasan yang betul untuk mendapatkan semula akreditasi dan mengembalikan kepercayaan ramai terhadap makmal yang turut mendapat pensijilan ISO: 17025 ini, katanya.

(Berita Harian, 7 Februari 2013, ms V4, Varsiti)

Follow Us

tweett

Site Login