16 penyelidik terima geran R & D
Georgetown : Seramai 16 ahli akademik dan wakil industri yang menjalankan penyelidikan bersama menerima geran Penyelidikan dan Pembangunan (RD) disumbangkan Pusat Usaha sama Penyelidikan dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST).
Ketua Pegawai Eksekutif CREST Jaffri Ibrahim berkata, geran diberikan itu selaras matlamat bagi mempromosi penyelidikan, pembangunan serta pertumbuhan sektor Elektrik dan Elektronik (EE) di Malaysia.
Menurutnya, terdapat 10 projek dalam pelaksanaan melalui geran RD CREST bagi sesi 1/2012. Projek kerjasama penyelidikan berkenaan berjumlah RM7.7 juta sebagai sumbangan daripada industri dan RM3.1 juta dalam bentuk puncak geran RD.
CREST juga dijangka menandatangani memorandum persetujuan (MoA) bagi sesi ini menjelang akhir Februari.
Diharap lebih ramai penyelidik dan wakil industri yang memohon geran RD bagi sesi 1/2013 yang tamat pada 11 Mac depan, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyerahan geran berkenaan yang turut dihadiri Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Omar Osman yang juga menyampaikan geran berkenaan, di sini, kelmarin.
Sementara itu, penyelidik dari USM, Dr Norlaili Mohd Noh berkata, dia menjalankan kerjasama penyelidikan dengan SilTerra Malaysia Sdn Bhd.
Menurutnya, pemberian geran RM305,280 itu diyakini mampu menyiapkan projek penyelidikannya dengan syarikat terbabit dalam tempoh 24 bulan.
Geran ini amat membantu kerana ia dapat mempercepatkan tempoh bagi kajian terhadap reka bentuk mikro elektronik yang memerlukan modal tinggi, katanya.

