NC DITAULIAH KOLONEL KEHORMAT PALAPES

PULAU PINANG, 16 Jul 2012 – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah telah berkenan untuk menganugerahkan Tauliah Kolonel Kehormat selaku Ketua Komandan PALAPES, Universiti Sains Malaysia (USM) kepada Naib Canselor (NC), Profesor Dato’ Omar Osman berkuatkuasa 28 Jun 2012.
Majlis pemakaian pangkat kepada NC itu telah dilakukan oleh Penglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Zulkifli Zainal Abidin dalam satu majlis khas di sini baru-baru ini yang turut menyaksikan penganugerahan pangkat yang sama kepada NC Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Azizan Md. Delin, pegawai-pegawai utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan wakil dari kedua-dua universiti.
Zulkifli dalam ucapannya berkata, USM disifatkan sebagai sebuah universiti yang amat signifikan dalam mencipta penemuan penting yang memberi impak positif pada pembangunan bidang pengajian tinggi negara.
Katanya, pentauliahan pangkat kepada NC itu dilihat sebagai satu jaringan yang dapat meneruskan kesinabungan jaringan kolaborasi di antara pihak ATM dan PALAPES di seluruh IPT di Malaysia.
``Kita mohon pihak universiti bersama-sama melihat semula perkembangan PALAPES supaya badan ini terus kekal dinamik dan berdaya saing. Ini kerana walaupun PALAPES telah lama wujud namun sehingga kini ia belum berada pada tahap tertinggi,’’ ujarnya.
Katanya, USM juga diharapkan dapat memberi nilai tambah dan meningkatkan usaha dalam memberi wadah baru kepada kewujudan PALAPES di IPT, sekaligus meletakkan badan ko-kurikulum itu ke satu tahap yang berbeza dari organisasi lain.
``Banyak yang boleh digunakan dalam paltform ATM untuk menambah baik taxonomi dan pedagogi untuk manfaat pembangunan PALAPES dan kita sentiasa berusaha untuk meningkatkan pencapaian badan ke tahap yang diinginkan,’’ katanya.

