USM UNGGUL DI NRIC 2012

PULAU PINANG, 20 Julai 2012 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mengekalkan reputasi antara universiti terbaik di dalam pembangunan penyelidikan apabila berjaya mengungguli 3 daripada 5 anugerah utama yang dipertandingkan, termasuk merangkul tempat pertama anugerah CoRIC pada Novel Research & Innovation Competition (NIRC) 2012.
Pada pertandingan itu, USM berjaya membolot anugerah The Best NRIC Award 2012, kategori Sustainable/Green Technology Award, kategori Social Impact Policy Award dan kategori CoRIC Award.
Menurut Yong Bang Ming, Ketua Kumpulan bagi projek FPGA-Based Cervical Pre-Cancerous Diagnostic Kit yang berjaya membolot The Best NRIC AWARD tahun ini berkata, beliau tidak menyangka produk yang baharu dicipta pada tahun lepas ini mendapat pengiktirafan daripada juri-juri profesional.
“Saya amat terharu dengan keputusan ini, dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas pengiktirafan yang diberikan oleh pihak juri untuk projek tersebut,” katanya pada sidang media khas bersama pemenang selepas majlis perasmian penutupan NRIC 2012.
Mengulas mengenai projek yang dihasilkan, Yong, 23, pelajar tahun tiga, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik berkata, projek yang dihasilkan ini memfokuskan kepada diagnosa awal pencegahan kanser servik dengan hanya menggunakan kaedah visual tanpa perlu mengambil sampel dan diuji dimakmal untuk keputusan.
“Kami telah mencipta sebuah peranti di mana ia berupaya mengimbas gambar kawasan yang telah diramal menghidapi kanser melalui mikroskop. Dengan hanya 15 saat, ia dapat memberikan keputusan diagnosa sama ada ia normal atau tidak.”
“Rawatan konvesional yang diamalkan kini memerlukan masa sehingga 3 minggu untuk mendapatkan keputusan kerana memerlukan penelitian rapi dari segi pengambilan sampel, ujian makmal dan beberapa peringkat lagi sebelum mendapatkan keputusan yang tepat.”
Tambah Yong, dengan hanya 15 saat, begitu mudah dan ketepatan keputusan disahkan oleh Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), pastinya produk ini dapat membantu dalam pencegahan awal pesakit yang bakal menghidapi kanser di masa mendatang.
Yong bersama dua rakannya iaitu Teng Yuan Jun, 22, dan Ho Qiao Yee, 23, juga dari Pusat Pengajian yang sama berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000, sijil serta piala.
Majlis Perasmian Penutupan NRIC tahun ini diserikan dengan kehadiran Y.B. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia yang turut menyampaikan anugerah bagi pemenang-pemenang utama.

NRIC tahun ini telah disertai oleh 17 IPTA dan IPTS tempatan daripada pelajar ijazah pertama termasuk 3 universiti dari luar negara iaitu Jefri Bolkiah College Engineering,Brunei, King Mongkut’s University of Technology Thonburi, Thailand, dan Princess of Naradhiwas University, Thailand.
Sebanyak 138 projek dipertandingkan pada tahun ini dan sejumlah 23 pingat emas, 24 pingat perak 37 pingat gangsa berjaya diraih oleh universiti tempatan dan antarabangsa.
Turut hadir adalah Prof. Dato’ Omar Osman, Naib Canselor, USM, Prof. Asma Ismail, Timbalan Naib Canselor, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, USM dan Prof. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar, USM.

