TORAY SUMBANG DANA BIASISWA PELAJAR

PULAU PINANG, 1 Ogos 2012 – Toray Industries (Malaysia) Sdn. Bhd (Toray), rakan industri Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 1980-an bersetuju menyumbang pembiayaan dana biasiswa bagi para pelajar USM untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, pembiayaan dana tersebut merangkumi 10 penerima bagi tahun 2012, diikuti dengan sekurang-kurangnya empat penerima bagi tempoh empat tahun akan datang.
Katanya, setiap penerima yang layak akan diberi biasiswa berjumlah RM9,000 setahun, merangkumi dua semester pengajian.
``Secara keseluruhannya pihak Toray telah bersetuju membiayai sekurang-kurangnya 26 pelajar yang terpilih secara kompetetif untuk menjadi penerima biasiswa berkenaan dalam tempoh lima tahun.
``Kita berbesar hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pihak industri dan menganggap inisiatif seumpama ini perlu diteruskan dengan penglibatan lebih ramai rakan industri bagi mengurangkan beban pelajar mendapatkan pembiayaan pengajian mereka,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penandatanganan memorandum perjanjian (MoA) di antara USM dengan Toray di sini hari ini. Toray diwakili Pengarah Urusannya, Hiroshi Yoshimura.
Tambah Omar, pembiayaan tersebut melibatkan dana dalam jumlah yang besar dan ia dikhususkan kepada para pelajar ijazah pertama merangkumi jurusan-jurusan seperti Kejuruteraan Awam, Elektrik dan Elektronik, Mekanik, Bahan & Sumber Mineral, Sains Kimia dan sebagainya.
``Toray juga terdahulu telah menunjukkan semangat keakraban yang tinggi dan bekerjasama dengan USM dalam pelbagai perkara termasuk menyalurkan dana bagi tujuan pendidikan dan pembangunan penyelidikan,’’ jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan penyaluran dana tersebut dapat meningkatkan jumlah penaja biasiswa untuk kemudahan pelajar yang layak, selain mengurangkan kebergantungan kepada agensi kerajaan yang menawarkan pinjaman dan sebagainya.

