Text Size
  • Versi Bahasa
  • English Version

PASANGAN SUAMI ISTERI TERUJA TERIMA IJAZAH: ULANGKAJI WALAU DALAM KERETA

usmibu 1

PULAU PINANG, 23 Sept. 2012 -  Kesibukan dengan tugas sebagai pendidik tidak menghalang pasangan suami isteri warga emas berusia 58 tahun mencapai impian bersama menggenggam segulung ijazah.

Pasangan berkenaan, Musa bin Jaafar dan Nor Azizan Sulaiman menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Sastera, pengkhususan dalam matapelajaran Sejarah daripada Naib Canselor, Prof. Dato’ Omar Osman sempena sidang terakhir Upacara Konvokesyen ke-46, Universiti Sains Malaysia (USM).

Kesempatan yang ada digunakan sebaiknya oleh pasangan terrsebut, masing-masing bertugas sebagai penolong kanan (Musa) dan guru besar di sekolah di Muar Johor, walaupun ada ketikanya terpaksa mengulangkaji pelajaran di dalam kereta.

Musa berkata, kejayaan anak-anak dan saudara-mara menjadi dorongan kuat untuk mereka merasai kenikmatan dan kepuasan bergelar graduan, apatah lagi di sebuah universiti yang terkemuka di tanah air.

Katanya, jarak perjalanan berulang-alik dari Muar ke Pulau Pinang juga tidak menjadi penghalang untuk mereka tewas di pertengahan jalan, sebaliknya menguatkan semangat untuk menghabiskan pembelajaran tepat pada masanya.

``Perjalanan jauh juga memberi peluang untuk kami bertukar-tukar pandangan dalam pembelajaran, yang mana ketika saya memandu, isteri akan membaca buku dan menerangkan kembali perkara yang dibaca.

``Ia sangat membantu dalam aktiviti pembelajaran kami, selain daripada mengulangkaji melalui internet, modul dan sebagainya,’’ katanya ketika sidang media yang turut dihadiri  oleh lebih 20 ahli keluarganya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Omar berkata, USM sentiasa ingin menambahbaik sistem pendidikan yang ditawarkan, termasuk melestarikan pembelajaran sepanjang hayat melalui saluran kemasukan khas yang membenarkan warga emas mendaftar sebagai pelajar sepenuh masa mahupun jarak jauh.

usmibu 2

Dalam sidang media yang sama, pasangan anak-beranak, Derisah Maarof, 66 dan anak lelakinya, Mohd. Idzwan Razali, 34 turut berkongsi detik kegembiraan mencapai kejayaan berijazah, masing-masing dalam jurusan Pengurusan dan Sains Kemasyarakatan.

Derisah berkata, walaupun di usia yang sudah hampir dengan angka 70, beliau tekad meneruskan cita-cita terpendam untuk menjejakkan kaki ke menara gading yang terhalang dek kerana kesibukan bekerja dan menguruskan keluarga.

``Mula-mula saya agak gerun, takut dan gelisah, apatah lagi melihat kepada buku-buku yang tebal dan hendak memulakan sesuatu yang baru dalam hidup.

``Namun berkat doa dan dorongan kuat anak-anak yang telah terlebih dahulu mencapai kejayaan, saya nekad dan akhirnya berjaya sehingga ke tahap ini,’’ ujar ibu tunggal yang telah kematian suami sejak dua tahun yang lalu itu.

Ketika ditanya resepi kejayaan beliau, wanita yang mula mendirikan rumahtangga selepas selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu berkata, dirinya tidak pernah malu untuk bertanya dan keluar rumah mencari rujukan tambahan.

``Saya selalu ke perpustakaan atau menghabiskan masa mengulangkaji dengan pelajar yang lebih senior, walaupun yang senior itu jauh lebih muda dari saya, dengan niat untuk menimba ilmu dan berjaya,’’ ujar beliau.

Ikuti Kami

tweett

Site Login