DATO’ ZURAIDAH ATAN KINI LGU USM

PULAU PINANG, 31 Mei 2012 – Dato’ Zuraidah Atan kini dilantik sebagai Ahli Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Universiti Sains Malaysia (USM) yang dipengerusikan mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefle A.Hassan untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 1 Mei 2012 hingga 30 April 2015.
Pelantikan beliau dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi negara, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
Zuraidah juga adalah Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa, satu yayasan yang dibangunkan pihak kerajaan untuk memupuk dan menyuburkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Pemegang Bachelor of Laws (Honours) dari University of Buckingham, England ini turut berkhidmat sebagai Penasihat Kehormat kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kanser tertua dalam negara iaitu National Cancer Society of Malaysia (NCSM).
Wanita yang mempunyai pengalaman lebih dari 25 tahun dalam industri perbankan ini turut menjalankan tugas sebagai peguambela dan peguamcara kepada firma guaman milik beliau sendiri, Chambers of Zuraidah Atan yang mula ditubuhkan sejak tahun 2004.
Beliau yang juga alumni Kolej Tunku Kurshiah dari tahun 1972-1977 (MCE ’76) kini turut aktif bertindak sebagai ahli lembaga pengarah di beberapa organisasi terkenal tanahair termasuk NCB Holdings Sdn. Bhd, Northport (Malaysia) Bhd, Kenanga Islamic Investors Berhad dan lain-lain.

