Text Size
  • Versi Bahasa
  • English Version

MENINGKATKAN KECEKAPAN PENGURUSAN HOSPITAL MELALUI SISTEM GABUNGAN KES

Ucapan di Majlis Penandatanganan MoU USM-UNU-IIGH pada 16 Oktober 2011, jam 12.00 Tgh di Bilik Persidangan Canselori USM Pulau Pinang

Terlebih dahulu, saya ingin mengalu-alukan Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yasin, Pengarah, United Nations University for Global Health (UNU-IIGH) dan rakan-rakan dari UNU yang bukanlah asing kepada kita semua.

Terima kasih kerana melapangkan masa bersama-sama kami yang sebenarnya telah berada di Bilik Persidangan ini sejak semalam untuk berbincang tentang perkembangan dan kemajuan USM untuk berkongsi nantinya dengan rakan-rakan IPT lain tentang apa yang berlaku di sini untuk bersama-sama mentransformasikan pengajian tinggi seperti yang sering diperkatakan.

UNU bukanlah asing kepada kita kerana ia berkait rapat dengan pengiktirafan USM menjadi satu dari RCE untuk pendidikan bagi pembangunan lestari di rantau ini yang diberikan beberapa tahun lalu. Jadi kerjasama yang kita meterai hari ini adalah lanjutan dari usaha yang dilakukan.  

MoU hari ini adalah untuk kita melaksanakan sistem gabungan kes (case-mix system) di Hospital USM (HUSM) selaras dengan peningkatan perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan dalam era globalisasi ini yang menyaksikan lebih banyak juga perkhidmatan kesihatan berkualiti yang diperlukan oleh orang ramai. Apatah lagi dengan adanya teknologi-teknologi berinovasi di pasaran luar dan dalam negara wujudnya penyakit-penyakit baru yang selalunya berkait rapat dengan nilai monetari yang tinggi.

Sistem Gabungan Kes atau Case-Mix System merupakan sistem pengelasan pesakit berdasarkan episod rawatan yang diterima oleh pesakit. Konsep sistem ini adalah untuk memudahkan proses pendiagnosan pesakit yang umum mengetahui ianya kompleks dengan menggabungkan pesakit-pesakit tersebut kepada satu kategori diagnosis yang sama serta bermakna secara klinikal. penggunaan sumber yang sama dalam rawatan yang diberikan. Pengumpulan diagnosis ini dilakukan dengan menggunakan software berinovasi tinggi,.UNU-CBG Grouper yang akan mengkategorikan keadaan pesakit kepada beberapa kategori penyakit (Case-Based Group [CBG]).

Antara manafaat yang bakal diperolehi oleh pihak pengurusan hospital adalah penambahbaikan dalam perkhidmatan jagaan kesihatan di hospital, memantapkan lagi kuali jagaan kesihatan di hospital dan juga penambahbaikan Sistem Pengurusan Kesihatan di hospital.

Pelaksanaan Sistem Gabungan Kes di HUSM ini  akan membolehkan agihan sumber dihitung berdasarkan kos purata rawatan yang diberikan untuk setiap kumpulan Diagnosis Related Groups atau  DRGs. Kos untuk pesakit dalam di setiap jabatan di hospital dihitung berdasarkan kos pemberat untuk setiap kes pesakit dengan keadaan yang spesifik yang dicerap di jabatan tersebut dan di klasifikasikan berdasarkan diagnosis secara klinikal.

Yang menariknya ialah Sistem DRG ini membolehkan satu DRG sahaja untuk seorang pesakit pada setiap  episod rawatan. Caj yang dikenakan adalah merangkumi kesemua perkhidmatan yang terlibat dalam rawatan, antara kemasukan ke hospital dan discaj. Melalui kaedah ini, memudahkan pihak pengurusan hospital untuk menilai serta menguruskan kos berdasarkan DRG atau kumpulan DRG.
Pelaksanaan sistem ini secara langsung menyediakan dokumentasi lengkap sebagai memenuhi keperluan akreditasi di HUSM dan diharapkan perkhidmatan jagaan kesihatan yang diberikan oleh HUSM akan lebih berkualiti, efisyen, harmoni dan mampu dicapai oleh seluruh masyarakat. Pada akhirnya, kita mengharapkan HUSM akan berupaya untuk terus memberikan sumbangan kepakarannya kepada seluruh anggota masyarakat sebagai sebuah hospital pengajaran dan rujukan utama serta tentunya yang terbaik di rantau ini.  
Kerjasama dengan UNU-IIGH ini sewajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin bukan sahaja dalam bidang ini tetapi juga perkongsian pintar lain untuk faedah kedua-dua institusi.
Sekali lagi terima kasih kepada Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yasin, Pengarah, United Nations University for Global Health (UNU-IIGH) yang sudi melapangkan masa bersama-sama kita. Saya percaya ini bukanlah kunjungan yang terakhir, sebaliknya akan menjadi permulaan kepada hubungan yang lebih akrab pada masa depan.  Marilah kita sama-sama doakan agar usaha kita mendapat keberkatan Allah s.w.t jua hendaknya.

Site Login