MEMAHAMI PERANAN PELAJAR DEWASA DALAM PROSES TRANSFORMASI UNIVERSITI (11/08/15)

Profesor Dato’ Dr. Omar Osman

Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia

MEMAHAMI PERANAN PELAJAR DEWASA DALAM PROSES TRANSFORMASI UNIVERSITI

Pada tahun ini USM mengambil masuk seramai 1,600 orang pelajar baharu pengajian jarak jauh dari lebih 4,000 orang yang memohon. Syabas dan tahniah kepada semua yang dipilih mengikuti empat program ijazah pertama iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan, Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan, Ijazah Sarjana Muda Sains dan Ijazah Sarjana Muda Sastera.

Selamat menjadi sebahagian dari warga Universiti Sains Malaysia (USM) yang mencintai dan menggunakan ilmu pengetahuan mahu pun pengalaman yang ada untuk untuk menjadi seorang warga negara yang mampu menjadi pemimpin, sesuai dengan motto “Kami Memimpin”.

USM adalah universiti yang menggalas amanah sebagai sebuah universiti APEX sejak 2008 yang bertunjang kepada Memacu Kecemerlangan dan sebuah universiti berteraskan kelestarian, yang menjaga alam dan memuliakan hubungan akrab dengan Penciptanya, dengan manusia dan dengan alam. Syabas dan tahniah serta jadilah mahasiswa yang mampu membanggakan Universiti ini.

Dalam mencari ilmu pengetahun terdapat beberapa perkara asas yang seharusnya diingati dan difahami sebagai satu adab dan etika utama mengikut tradisi dan tamadun peradaban ilmu yang ada. Pertama ialah menghormati institusi. Di mana pun kita berada, kita perlu hormati institusinya, menjaga tata susila dan menjunjung kemuliaan sebuah institusi dengan segala struktur dan peraturannya, apatah lagi bagi sebuah universiti, Menara Ilmu yang mempunyai adab-adabnya yang perlu dijaga dan disantuni.

Kedua, hormatilah guru dan para cendekiawan kita. Adab dan penghormatan seorang pelajar dan mahasiswa terhadap guru, pensyarah mahu pun ilmuan yang ada perlu sentiasa dipelihara. Patuhi adab dalam mencari ilmu, memartabat ilmu dan menggunakan ilmu untuk mendapat keberkatan ilmunya. Patuhi jadual dan waktu yang ada serta hormati segenap tatasusila yang ada. Perbezaan pendapat dan pandangan boleh berlaku dalam kita meraikan kepelbagaian, tetapi adab-adabnya mestilah sentiasa dijaga.

Ketiga, menjaga adab dalam mencari dan menguasai ilmu. Tujuan dan matlamat utama saudara-saudari berada di Menara Ilmu ini ialah untuk mencari dan menguasai ilmu. Jadi, patuhi hasrat dan matlamat tersebut dalam pelbagai konteks dan perspektif yang ada. Hal-hal selain daripada tujuan tersebut seharusnya menjadi perkara yang bukan keutamaan.

Berusahalah untuk memahami falsafah ilmu yang diterokai serta sentiasa bertanya untuk mendalaminya. Jadikan perpustakaan dan dunia maya untuk mencari sebanyak mungkin maklumat ini dan tidak menyalahgunakan kemudahan yang ada termasuk media sosial. Internet dan media sosial umpama pisau yang jika kita manfaatkannya untuk kebaikan, maka kita akan beroleh kebaikannya.

Begitu jugalah sebaliknya jika kita menggunakan tanpa pertimbangan iman dan akal fikiran, maka kita mudah terjerumus dalam kancah kerja sia-sia dan merosakkan orang lain. Sentiasalah berpegang kepada fakta dan data, bukan emosi dan keseronokan untuk menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan yang ada.

Pelajar dewasa terutamanya mempunyai kelebihan – iaitu dari segi kelebihan pengalaman dalam kerjaya dan pengalaman dalam hidup yang boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan. Hanya mereka yang benar-benar berdisiplin dan kekal dengan matlamatnya, akan beroleh kejayaan.

Di Universiti terdapat banyak sekali peluang dan kesempatan yang boleh diterokai di sini untuk masa hadapan apatah lagi jika ingin gunakannya untuk meningkatkan kemajuan kerjaya dan membantu masyarakat di mana kita berada.

Kalau melihat di sekitar kampus USM ini, di hadapan DTSP misalnya terdapat bangunan baharu untuk tujuan Program Pemindahan Ilmu yang disumbangkan oleh pihak swasta yang terdapat bersebelahan Perpustakaan dan Institut Pengajian Siswazah. Universiti melihat Program Pemindahan Ilmu begitu penting dalam memastikan berlakunya proses pembudayaan ilmu, memasyarakatkan penyelidikan dan melibatsama komuniti. Semua ini perlu difahami dengan sebaik-baiknya.

USM kini telah berkembang pesat. Kampus USM selain dari di Pulau Pinang ini, terdapat juga di Belgaum India untuk Program Sains Perubatan, Kampus Penyelidikan di Bukit Jambul Pulau Pinang yang menempatkan Sains@USM dan beberapa program kerjasama dengan industri, Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal, Kampus IPPT di Bertam dan Kampus Kesihatan di Kubang Kerian Kelantan. Di samping itu USM juga mempunyai kampus IPS di Kuala Lumpur.

USM juga menawarkan program Pengajian Jarak Jauh di Medan Indonesia dan mendapat permintaan untuk menawarkan pengajian di Timur Tengah dan Turki. Malah, pengajian pembangunan Islam USM turut berada di Brunei melalui kolaborasi ilmu. USM juga menawarkan pengajian ijazah tinggi melalui ijazah kembar di Perancis dan beberapa buah negara lain. Hubungan akrab USM berjalan di institusi pengajian dan penyelidikan RIKEN di Jepun termasuk yang terbaharu untuk penawaran pengajian dan penyelidikan dalam bidang penuaan.

Para pelajar perlu memahami bahawa pemikiran dan transformasi yang berlaku berjalan dengan pantas yang memerlukan semua pihak juga menjadi peserta yang aktif, bukan hanya pemerhati.

USM menggunakan kaedah kolaborasi dan bekerja bersama-sama untuk membawa kita ke luar dari pemikiran terhadap pendidikan tinggi sedia ada dan kita tentunya akan menjadi tidak relevan termasuk para pelajarnya, jika bekerja dan bergerak bersendirian.

Malah USM kini bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan sahsiah pelajar, usaha memperkasakan perhubungan dengan industri dan pelbagai institusi luar dan penyelidikan dan inovasi, tetapi juga kita melakukan libatsama komuniti pada peringkat global. Kita ingin supaya suara kita didengar dan kita terlibat secara langsung dalam proses yang ada – misalnya melalui APUCEN atau Asia Pacific University Community Engagement Network yang diterajui USM, kita menjelajah seluruh dunia dari Asia Tenggara membawa kepada Kathmandu Nepal, Australia, Jepun dan negara-negara lain di dunia.

Kita perlu bergerak seiring dan bersama-sama untuk membawa universiti dan pendidikan tinggi kita ke hadapan seperti istilah yang digunakan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi alumni USM Dato’ Seri Idris Jusoh iaitu Soaring Upwards.

Untuk benar-benar mencapainya semua pihak perlu memainkan peranan, termasuk saudara-saudari. Bagaimana misalnya pengalaman dan kematangan pelajar dewasa dapat dimanfaatkan dalam pelbagai jaringan yang ada, bukan hanya dalam kalangan pelajar sepenuh masa. Bagaimana para pelajar dapat menjadi penghubung untuk universiti keluar dan bersama-sama dengan pelbagai institusi lain untuk memanfaatkan kepakaran yang ada bersama-sama.

Bagaimana para pelajar melihat semua usaha ini merentasi apa yang dilakukan sekarang ini – sekadar mendapat segulung ijazah. Pelajar pengajian jarak jauh menjadi satu aset dan sumber utama dalam melakukan transformasi pengajian tinggi.

Dengan jumlah siswazah jarak jauh yang menghampiri 21,000 orang, tentunya banyak perkara yang boleh dilakukan dalam memajukan lagi, bukan sahaja pengajian jarak jauh itu sendiri tetapi proses pemindahan ilmu dan memasyarakatkan ilmu untuk dunia seluruhnya. Bagaimana misalnya saudara-saudari dapat berperanan menjayakan program Kampus Sejahtera dan Kelestarian yang berterusan, terlibat dalam pelbagai program libatsama universiti dan sebagainya yang wajar difikirkan dengan lebih serius.

Inilah antara pemikiran-pemikiran yang perlu kita bangunkan dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 yang pada lonjakan ketiga dari sepuluh lonjakan menekankan kepada kepada usaha untuk Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) untuk membolehkan warga Malaysia mendapat ilmu dan kemahiran bersesuaian dengan model ekonomi berpendapatan tinggi.
PSH mampu menggembleng potensi individu yang masih belum berada dalam pasaran kerja menerusi pelbagai peluang meningkatkan kemahiran. PSH juga boleh memupuk minat dan menyemai bakat untuk kehidupan yang lebih bermakna. Menerusi PSH, pendidikan tidak hanya terhad kepada usia muda, tetapi perlu dilanjutkan sepanjang hayat. Saya percaya usaha ini bukan hanya dalam usaha menguasai ilmu tetapi bagaimana memanfaatkan ilmu untuk masyarakat dan negara seluruhnya.

Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) USM yang diperkenalkan di Malaysia sejak 1971 yang jauh lebih dewasa dari mana-mana institusi lain yang menawarkan program ini tentunya telah mempunyai pelan pembangunan jangka panjang untuk menjadi lebih berjaya daripada mereka yang terkemudian.

Para pelajar perlu menjadi sebahagian daripada proses pembangunan jangka panjang itu dengan memberi input untuk meningkatkan keupayaannya untuk menjadi pilihan terbaik di negara ini malah juga paling tidak di rantau ini.

Semua pihak perlu berganding bahu menjayakan aspirasi universiti, transformasi pendidikan tinggi malah berusaha merealiasasikan Kami Memimpin dan Memacu Kecemerlangan dalam kerangka kerja dan pemikiran yang ada dan bersikap realistik. Kita perlu berusaha bersama-sama dan memandang jauh ke hadapan dalam memastikan pendidikan tinggi termasuk pendidikan jarak jauh sentiasa relevan dan menjadi yang terbaik dengan para ilmuannya yang terbaik dan hebat serta para mahasiswanya juga hebat dan menjaga adab yang tinggi dalam menguasai dan menterjemahkan ilmu.

- Berdasarkan teks ucapan di Majlis Sambutan Siswa dan Ikrar Pelajar Baharu, program Siswa Lestari Rancangan Pengajian Jarak Jauh SA 2015/2016 pada hari Selasa, 11 Ogos 2015, jam 10:30 pagi di Dewan Tuanku Syed Putra, USM Pulau Pinang