PULAU PINANG, 9 Julai: Sekumpulan pelajar Pusat Pengajian Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia akan mewakili negara ke Pertandingan ‘Open Jive Regional Challenge’ peringkat Asia Tenggara setelah berjaya merangkul tiga anugerah dalam pertandingan yang sama di peringkat nasional pada 2 Julai yang lalu.
Kumpulan pelajar tersebut yang dianggotai oleh Tan Choo Jun, Ang Wai Heng dan Chan Siau Mei dan dibantu oleh pensyarah di pusat pengajian berkenaan, Dr. Chan Huah Yong merangkul Anugerah Juara Open Jive Malaysia 2009, Anugerah Teknologi dan ‘Parasoft’s Code Quality Challenge’ dalam pertandingan di Bukit Jalil Golf and Country Club sebelum melayakkan mereka mewakili negara.
Dalam pertandingan tersebut, kumpulan ini menampilkan hasil inovasi perisian ciptaan mereka yang dikenali sebagai ‘Mobile Desktop Grid’ yang dihasilkan menerusi penggunaan perisian-perisian terbuka yang dikeluarkan oleh Sun Microsystem.
Pertandingan ‘Open Jive Regional Challenge’ peringkat Asia Tenggara dijangka berlangsung pada 27-29 Julai 2009 di Suntech City, Singapura.
Selain Malaysia, pertandingan yang bakal berlangsung ini akan turut disertai pleh peserta-peserta dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Nota gambar: KEBANGGAAN USM… (dari kiri) Chan Siau Mei, Ang Wai Heng, Prof. Madya Chan Huah Yong dan Tan Choo Jun menunjukkan hasil inovasi yang akan mereka pertandingkan di Pertandingan ‘Open Jive Regional Challenge’ peringkat Asia.