PULAU PINANG, 9 Julai: Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mencatat sejarah apabila sekumpulan 7 pelajar Pusat Pengajian Sains Komputer USM merangkul tempat pertama dan ketiga bagi kategori Unlimited Potential Design for Development Award di Pertandingan Imagine Cup Dunia anjuran syarikat gergasi perisian komputer Microsoft Corp di Mesir baru-baru ini.
Pertandingan tersebut disertai oleh sejumlah 144 pasukan dari 70 buah negara di seluruh dunia. Kedua-dua kumpulan pelajar tersebut dipilih mewakili Malaysia setelah dinobatkan sebagai johan dan naib johan bagi Pertandingan Imagine Cup di peringkat kebangsaan pada 18 Mei lalu di Kuala Lumpur.
Pasukan Cosmic yang dianggotai oleh Mathew Phiong Yoon Kheong, Jasy Liew Suet Yan, Ooi Keng Siang, Loo Wan Koe serta dibantu oleh pensyarah Pusat Pengajian Sains Komputer, Dr. Cheah Yu-N merangkul tempat pertama dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD 10,000. Pasukan Capricorn yang dianggotai oleh Lim Kian Long, Steven Lim Jun Liang, Marilyn Lim Chien Hui yang dibantu pensyarah Mohd. Azam Osman dan Maziani Sabudin pula merangkul tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai USD 1,000.
Cosmic mengenengahkan hasil sistem pemantauan kesihatan yang dikenali sebagai ‘Virtual Health Connect‘ yang mampu menyampaikan pelbagai maklumat berhubung status serta keperluan kesihatan seseorang seawal dilahirkan sehingga ke peringkat dewasa. Capricorn pula mempertandingkan teknologi perisian ciptaan mereka ‘GreenEve2Peace’ yang berfungsi sebagai sistem amaran dan penyampaian maklumat menerusi sistem pesanan ringkas (sms) kepada penanam padi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda.
Naib Canselor, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak melahirkan rasa bangga dengan kejayaan tersebut.
“Kejayaan ini dapat menyemarakkan lagi semangat para pelajar lain untuk Berjaya dalam apa jua usaha dan mengharumkan nama universiti dan negara,” katanya yang sedang menghadiri Persidangan Pengajian Tinggi di Paris.
“Kisah kejayaan ini adalah sesuatu yang wajar kita raikan dan akan dikongsi bersama pelajar-pelajar baru di universiti ini sebagai kisah motivasi bagi membolehkan mereka mengejar kecemerlangan,” kata beliau lagi.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer USM, Prof. Rosni Abdullah berkata, Pusat Pengajian berbangga dengan kejayaan ini sebagai satu pencapaian yang amat bermakna kepada semua.
Tambahnya lagi, kejayaan ini dicapai hasil kerjasama erat antara pelajar dengan pensyarah mereka yang menunjukkan kesungguhan dan bekerja keras untuk menjulang nama universiti dan negara di pentas dunia, apatah lagi ia dianggap sangat mencabar dan sukar.
Imagine Cup memerlukan pesertanya untuk membangunkan perisian mengikut tema pada tahun ini, ‘Imagine a World Where Technology Helps Solve the World’s Toughest Problem’.
Dalam pertandingan tersebut, kedua-dua pasukan perlu mengadakan persembahan selama 20 Minit bagi kategori ‘Rekacipta Perisian’ dan 30 minit bagi kategori ‘Rekacipta untuk Pembangunan’ dengan justifikasi bagaimana perisian yang dibangunkan ini dapat membantu dalam menyelesaikan masalah dunia.
Nota gambar: Kejayaan USM di Mesir… (dari kiri) Dr. Cheah Yu-N, Mathew Phiong Yoon Kheong, Jassy Liew Suet Yan, Ooi keng Siang, Loo Wan Koe (dari kiri bawah) Lim Kian Long, Maziani Sabudin, Steven Lim Jun Liang, Marilyn Lim Chien Hui meraikan kejayaan mereka di Pertandingan Akhir Imagine Cup Dunia.