PULAU PINANG, 5 Mac: Fungsi sebuah masjid seharusnya diperluaskan sebagai pusat pencarian dan penyebaran ilmu dan tidak seharusnya terikat menjadi pusat untuk amalan ibadat seperti solat semata-mata.
Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata pemikiran masyarakat yang begitu jumud dan mengikat masjid hanya sekadar sebagai pusat untuk amalan ibadat seperti solat dan kematian seharusnya diubah dan diperbetulkan.
“Pada zaman dahulu, fungsi masjid itu adalah amat besar. Ia menjadi lokasi pertemuan ilmuan dan juga menjadi nadi kepada pembinaan dan penyebaran ilmu-ilmu baru. Namun begitu, masjid kini kelihatan sepi dengan hanya amalan-amalan ibadat semata-mata.
“Persepsi ini seharusnya diubah dan fungsi masjid seharusnya diperluaskan,“ kata beliau ketika merasmikan Suffah Keilmuan Pusat Islam USM hari ini.
Terdahulu sebelum itu beliau turut menyempurnakan perletakkan semula Batu Asas Baru Masjid Al-Malik Khalid, Pusat Islam USM.
Suffah adalah perkataan daripada bahasa Arab, ‘al-suffah’, yang membawa maksud ruang atau bangunan yang bersambung dengan masjid dan pada zaman Rasulullah saw, Suffah dikenali sebagai institusi pendidikan dan kebajikan untuk masyarakat Islam.
Pengajian di Suffah bukan hanya tertumpu kepada pembelajaran Al-Quran malah juga merangkumi aktiviti mempelajari pelbagai bidang ilmu serta teknik menulis yang pelbagai bidang ilmu serta teknik menulis waktu siang yang diselia sendiri oleh Nabi Muhammad saw.
Suffah Keilmuan Pusat Islam USM mempunyai 5 komponen utama iaitu Sekretariat Falsafah dan Sains Islam, Suruhanjaya Antarabangsa Petunjuk Saintifik dalam Quran dan Sunnah, Unit Persuratan dan Penerbitan, Unit Penyelidikan dan Hal Ehwal Wanita dan Unit Rawatan Islam dan Perubatan Tradisional.
Hadir sama di majlis berkenaan ialah Puan Sri Datin Masrah Hj. Abidin, isteri Naib Canselor dan Prof. Madya Nasirun Mohd Salleh, Pengarah Pusat Islam USM.
Nota gambar: BATU ASAS BARU… Naib Canselor bersalaman dengan Prof. Madya Nasirun Salleh ketika menyempurnakan perletakkan batu asas Masjid Al-Malik Khalid USM
Foto: Mohd. Fairus Md. Isa