PULAU PINANG, 5 Mac: Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mencadangkan agar Universiti Sains Malaysia (USM) memulakan inisiatif bagi mewujudkan Sekretariat Khas Sukarelawan Pelajar untuk Sambutan Perayaan yang bertujuan untuk mengenengahkan sambutan perayaan-perayaan utama di negara ini pada peringkat universiti bersesuaian dengan semangat 1Malaysia.
Menurut beliau, usaha ini penting bagi membolehkan generasi muda, khususnya pelajar untuk memahami dan menerima budaya kaum berbilang bangsa di negara ini yang sekaligus akan menjayakan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.
“Kita hanya boleh hidup dalam keadaan yang harmoni jika kita memahami budaya masing-masing dan budaya amalan masyarakat lain di negara ini. Sambutan perayaan di pelbagai peringkat termasuk di universiti adalah antara kaedah terbaik yang membolehkan kita mencapai hasrat ini,” kata beliau.
Terdahulu sebelum itu, beliau merasmikan sambutan Pesta Tahun Baru Cina peringkat USM anjuran Majlis Perwakilan pelajar USM di Tapak Ekspo Konvokesyen.
Lebih 700 orang pelajar hadir ke sambutan berkenaan yang menyaksikan pelbagai persembahan termasuklah Tarian Harimau, persembahan bertukar Wajah, Gendang Perang, Orkestra Cina, Tarian Singa Utara dan Selatan, persembahan semburan api, Tarian Singa Tradisional, Akrobatik Qigong dan Tarian 'Pi Siu' yang cukup dekat dan sinonim dengan masyarakat Cina di negara ini.
Hadir sama ke majlis berkenaan ialah Prof. Omar Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) yang mewakili Naib Canselor, Prof. Abdul Rashid Mohamed, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan dan Prof. Madya Adnan Hussein, Dekan Pusat pengajian Komunikasi USM.
Nota gambar: KRAF MASYARAKAT CINA… Tan Sri Koh bersama Prof. Omar (kiri), Prof. Rashid (dua dari kiri) dan Prof. Madya Adnan meneliti sebahagian daripada hasil kraftangan yang dipamerkan sempena sambutan tersebut.
Foto: Mohd Fairus. Md Isa
-HABIS-