Skip to main content

[23JULAI2020] KEMASUKAN PELAJAR BAHARU SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN PEMULIHAN (VERSI 1)

 

USM Apex

KHAMIS, 23 JULAI 2020, 6.00 PETANG

HEBAHAN KEMASUKAN PELAJAR BAHARU
PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN PEMULIHAN (PKPP)


Selaras dengan perkembangan semasa berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020, Universiti Sains Malaysia (USM) ingin membuat penegasan berhubung beberapa keputusan Universiti, antaranya:

1. KEMASUKAN PELAJAR BAHARU KE USM

1.1. USM akan menerima masuk pelajar-pelajar baharu untuk Semester 1 Sidang Akademik 2020/2021 pada awal semester dalam bulan Oktober 2020.Kemasukan pelajar baharu ke kampus akan dilakukan secara berperingkat mulai 4 Oktober 2020. Jadual terperinci akan dimaklumkan kepada pelajar semasasurat tawaran dikeluarkan. Kaedah kemasukan untuk pendaftaran dan tempohuntuk berada dalam kampus akan dimaklumkan secara terperinci setelah Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) selesai membangunkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perkara berkenaan.

1.2. Bagi kemasukan pelajar sedia ada (tahun II hingga akhir), kemasukan secara berperingkat akan diumumkan melalui notis hebahan selanjutnya dalam masa terdekat. Dijangkakan pelajar tahun akhir akan masuk terlebih dahulu masuk ke kampus, diikuti oleh pelajar tahun tiga dan dua. Sehingga notis dikeluarkan, para pelajar yang masih berada di kampung halaman kekal mengikuti sesi pembelajaran dalam talian seperti biasa.

2. PENGECUALIAN YURAN

2.1. Atas dasar prihatin dengan keadaan semasa berikutan pandemik COVID-19, USM telah bersetuju untuk memberikan pengecualian yuran sebanyak 15peratus kepada semua pelajar sepenuh masa (pelajar ijazah pertama dan ijazah tinggi) bagi semester dua (2) sidang akademik 2019/2020. Pengecualian yuran ini dibuat selaras dengan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melibatkan implikasi kewangan dalam anggaran RM2 juta kepada USM. Iamembabitkan pengecualian yuran terhadap enam kategori yuran iaitu Desasiswa, bas dan komuter, kesihatan, perpustakaan, kebajikan pelajar dan aktiviti Desasiswa. Pengecualian yuran ini tidak melibatkan pelajar Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) 

2. Pengecualian yuran ini akan memanfaatkan kesemua pelajar yang mengikuti pengajian secara dalam talian di kampung halaman dan juga pelajar yang masih menetap di Desasiswa dalam kampus selama ini.

3. KEMASUKAN PELAJAR ANTARABANGSA KE USM

3.1 Selaras dengan pengumuman KPT berhubung kebenaran pelajar antarabangsa untuk kembali masuk ke kampus masing-masing, USM akan menerima pelajar antarabangsa mengikut SOP yang ditetapkan termasuk;

  • Mendapat kebenaran balik ke Malaysia melalui permohonan secara atas talian dengan pihak USM melalui IMCC dan daripada EMGS untuk kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia.
  • Mengikuti syarat dan SOP sebelum keberangkatan dari negara asal, semasa ketibaan di Malaysia dan selepas ketibaan di Malaysia seperti yang termaktub dalam SOP yang telah dihebahkan.
  • Melaporkan diri di Pusat Sejahtera sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
  • Menjalani kuarantin diri di Desasiswa yang ditetapkan selama 14 hari. (Maklumat lanjut boleh diperoleh daripada pihak IMCC USM)

4. PEMBUKAAN SEMULA SEMUA PINTU MASUK UTAMA USM

4.1 Jabatan Keselamatan (JK) USM akan membuka semula laluan masuk-keluar di semua pintu masuk USM (Batu Uban, Minden, Sungai Dua, RST dan Stadium) berkuatkuasa pada 22 Julai 2020. Maklumat lanjut berhubung pembukaan semula pintu masuk boleh rujuk hebahan semasa oleh JK USM yang telah diedarkan pada tarikh 21 Julai 2020.

NOTA: Hebahan ini tertakluk kepada perubahan mengikut pengumuman rasmi oleh pihak kerajaan berhubung PKPP dari semasa ke semasa.

5. MEDIUM HEBAHAN

Semua maklumat terkini boleh diakses melalui platform media sosial seperti:

i. Facebook: @USMOfficial1969
ii. Emel rasmi USM (staf/pelajar)
iii. Laman Web USM - COVID-19

PROFESOR DR. FAISAL RAFIQ MAHAMD ADIKAN
Naib Canselor
23 Julai 2020

BACK TO ANNOUNCEMENTS