9 Teras APEX

USM telah diberikan mandat untuk melaksanakan Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX -  Accelerated Programme for Excellence)  pada September 2008.  Sejak itu, USM sentiasa berusaha untuk menanamkan nilai-nilai dan teras-teras utama untuk dihayati serta dijadikan pegangan utama semua warga USM.

mv

Keilmuan  
Tujuan utama universiti ialah menerokai dan menguasai ilmu pengetahuan. Apa jua yang dilakukan mestilah berteraskan ilmu dan kaedah-kaedah keilmuan yang ada. Ilmu adalah urusan utama universiti yang tertumpu kepada usaha penerokaan, pengkayaan dan mengaplikasikan dalam setiap urusannya dalam kalangan seluruh warga universiti yang di kembang dan dimajukan secara berterusan untuk membangun negara dan mencapai kesejahteraan yang berterusan. Keilmuan juga menjadi teras dalam merealisasikan motto Kami Memimpin.

Masa Hadapan
Apa jua yang dilakukan perlulah berasaskan kepada pemikiran masa hadapan, dari segi impak kepada masyarakat dan orang lain mahu pun kepada diri sendiri. Apa yang akan ditinggalkan nanti dan bagaimana tindakan-tindakan yang berasaskan pemikiran pada hari ini akan memberi kesan kepada masa hadapan yang dibangunkan

Kelainan (keunikan)
Teras ini membezakan USM dan warganya daripada orang lain dalam membangunkan kekuatan dan impak masa hadapan. Untuk bersaing dan menghadapi masa hadapan, universiti malah seseorang perlu mempunyai kelainan dengan natijah yang diharapkan daripada setiap tindakan yang dibuat, apatah lagi jika berfikir di luar kotak dan merealisasikan Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy).

Kelestarian
Merealisasikan pemikiran dan usaha daripada penjagaan alam sekitar hinggalah kepada  memulihara tradisi dan kearifan tempatan yang terdapat dalam masyarakat, agenda kesukarelawanan dan membangunkan pelbagai inisiatif untuk menyemai semangat kelestarian ini dan merealisasikan usaha yang dibuat dalam menjaga alam seluruhnya.

Kesejagatan
Menghormati nilai-nilai universal yang dikongsi bersama dengan pemikiran yang luas dan terbuka, memahami budaya dan nilai universal dan global yang dipegang dan dihormati bersama-sama dan mempertahankan jati diri seperti ungkapan  Glokal iaitu berfikir global dan bertindak lokal iaitu menghormati nilai dan budaya yang ada dan pegang selama ini terutamanya dalam semangat  Rukun Negara. Warga universiti juga perlu ada kesanggupan untuk bekerja bersama-sama dan melibatkan semua secara inklusif (keterangkuman) tanpa sempadan.


Kemanusiaan
Nilai Kemanusiaan amat penting dalam menjamin kelangsungan hidup manusia dan alam seluruhnya. Kemanusiaan bermakna kita mempunyai belas ihsan dengan berpegang kepada prinsip dan nilai hidup dalam menjaga  alam, manusia dan masyarakat seluruhnya.

Pengorbanan
Bersedia untuk melakukan apa sahaja usaha yang berterusan dengan tulus ikhlas untuk menjayakan misi universiti yang dipegang bersama-sama demi mendapat keredaan Tuhan dan menjayakan amanah yang dipegang. Semangat ini perlu datang dari hati atau qalbu berteraskan semangat Saya Sayang USM dan Memacu Kecemerlangan.

Perubahan
Kejayaan universiti bergantung kepada perubahan yang dibuat dari dalam diri warganya membawa kepada perubahan dalam pemikiran serta tindakan-tindakan yang memberi impak besar kepada masyarakat dan dunia melalui ilmu pengetahuan dan semua teras yang dibangunkan bersama-sama.

Kesejahteraan
Matlamat utama segala usaha yang dilakukan adalah untuk memberikan kesejahteraan mental dan fizikal kepada semua merangkumi warga universiti membawa kepada warga negara dan dunia seluruhnya yang dibuat hasil pemikiran dan tindakan yang berterusan dan lestari dengan mengambil kira rohani dan jasmani, pembangunan moral dan fizikal serta kebahagiaan yang berterusan.