Logo USM

USMLogo


Rasional Logo

usm crest

Lambang

Lambang Universiti Sains Malaysia yang terdiri daripada anak bulan, dua ekor harimau, perisai dan moto, melambangkan identiti Malaysia, yang universiti ini mendapat ilham dan sokongan. Peranan universiti sebagai institusi kebangsaan terserlah dalam beberapa simbol lain.

Anak bulan melambangkan kebesaran agama Islam sebagai agama rasmi negara. Anak bulan dengan bintang pecah empat belas pula melambangkan perpaduan tiga belas buah negeri dengan Kerajaan Malaysia.

Dua ekor harimau, suatu simbol khusus bagi negara Malaysia, yang menggambarkan sifat-sifat kekuatan. Dua pelepah daun bertinta emas menandakan kemakmuran ekonomi Malaysia. Perisai yang diapit dua ekor harimau, sejenis alatan untuk perlindungan, merupakan suatu alatan tradisional yang diguna khususnya oleh orang-orang asli di negara ini. Warna ungu, yang menggambarkan kedudukan tinggi pula menjadi warna rasmi Universiti Sains Malaysia.

Buku terbuka yang terletak di bahagian atas perisai diibaratkan sebagai elemen ilmu yang dikaitkan dengan Universiti Sains Malaysia. Dua bilah keris, yang merupakan senjata tradisional orang-orang Melayu pula melambangkan kebesaran dan kekuasaan keluarga diraja. Bunga raya di bahagian atas perisai pula merupakan bunga kebangsaan negara.

Secara keseluruhannya, lambang ini didukung oleh moto ‘KAMI MEMIMPIN’ (WE LEAD) yang menggambarkan peranan Universiti dalam bidang ilmu, pengajaran, penyelidikan dan khidmat masyarakat.


logotaip
Logotaip

Huruf S berwarna putih diletakkan di antara huruf U dan M yang berwarna ungu.

Logotaip rasmi USM direka bentuk dalam susunan tiga huruf serangkai yang melambangkan perpaduan USM sebagai sebuah organisasi. Huruf S berwarna putih dan diapit oleh huruf U dan M yang berwarna ungu iaitu warna rasmi Universiti.

Penggunaan huruf S yang berwarna putih melambangkan kampus yang sejahtera serta cara pemikiran warganya yang sihat dan tajam. Huruf S juga melambangkan bidang Sains dan Sastera dalam bentuk simetri, iaitu simbol keseimbangan dan keharmonian dalam pencarian ilmu.

Huruf S juga melambangkan Sains dan Sastera, dalam bentuk S simetri, melambangkan rasa keseimbangan dan keharmonian dalam pencarian ilmu.

Huruf S yang terbuka pada bahagian atas dan bawahnya mewakili ciri “ di luar kotak pemikiran biasa” yang selari dengan aspirasi inovatif USM sebagaimana yang termaktub dalam misi universiti. Huruf S yang bersambung dengan huruf U dan M pula melambangkan hubungan erat di antara universiti dengan rakyat melalui penyebaran ilmu pengetahuan yang meluas.

Segitiga Jingga

Segitiga jingga melambangkan kekukuhan USM berdasarkan tiga nilai teras Universiti – Unggul, Sejahtera, Mesra. Kedudukan segitiga ini pada bahagian bawah huruf S melambangkan kepentingan ketiga-tiga nilai di atas dalam mendukung moto USM “Kami Memimpin”

Empat Garis Tegak Jingga

Empat garis tegak jingga ini pula melambangkan empat prinsip panduan USM yang berfungsi sebagai tonggak utama dalam keseluruhan pembangunan Universiti.

usm colorUngu USM

Menandakan kedudukan tinggi universiti, ini adalah warna rasmi USM.

Jingga USM

Warna jingga diterapkan daripada warna harimau pada lambang rasmi USM yang menggambarkan ciri-ciri USM yang dinamik dan aktif sebagai pelopor ilmu pada peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

Klik untuk muat turun logo USM