Universiti Dalam Taman

Konsep ‘Universiti Dalam Taman’ sebagaimana yang ditakwilkan oleh USM dalam tahun 2001-02 diolah untuk menggambarkan hubungan akrab di antara peranan dengan fungsi universiti sebagai institusi pengajian tinggi dalam persekitaran taman yang segar. Unsur flora, fauna, air dan ciptaan lain merupakan hubungan yang dinamik dalam penerokaan kehidupan selanjutnya. Konsep ini mengajak kita untuk menilai, memulihara serta mengekalkan kehijauan kampus sebagai sebahagian usaha membangunkan dunia intelek. Kita perlu menyemarakkan semangat dan amalan dalam menjaga persekitaran kampus, malah terus menyayangi dan menghargai alam semula jadi dan ekologi yang dianugerahkan Tuhan dalam hati dan pemikiran setiap warga kampus.

Untuk menyedarkan semua pihak tentang usaha ini, pelbagai elemen perlu diberikan perhatian khusus. Elemen ini merupakan nisbah dalam pemajuan tanah yang ada, keindahan flora dan fauna, tasik dan keindahan yang berkaitan, reka bentuk dan seni bina serta amalan seluruh warga kampus. Usaha murni ini memberikan keindahan yang tiada taranya, menggambarkan kampus yang sungguh menarik, nyaman dan kaya dengan semangat kemanusiaannya. USM menjadi model kehidupan universiti dalam taman yang patut dicontohi dan dicemburui. Usaha ini merupakan gabungan harmoni persekitaran kampus dalam taman yang menyediakan medan wacana intelek dalam menerokai akal budi berkenaan - siapa kita, cara mengetahui dan cara kita sepatutnya meneruskan kehidupan selanjutnya.

Klik untuk melihat buku “The University in the Garden” | USM Tree maps