Kemasukan ke USM

KEMASUKAN KE USM

USM menawarkan pelbagai Program Pengajian secara penuh masa kepada calon-calon yang berminat dan berkelayakan. Program seperti Sains, Sains Gunaan, Sains Komputer, Kejuruteraan, Teknologi, Seni, Sains Farmasi, Perubatan, Sains Kesihatan, Pergigian, Sastera, Sains Kemasyarakatan, Muzik, Seni Halus, Pendidikan, Ekonomi, Pengurusan dan Perakaunan, sering menjadikan  pilihan para pelajar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat  universiti.

Dasar Utama Pengambilan Pelajar

Universiti Sains Malaysia menerima permohonan yang sangat tinggi bagi setiap sidang akademik. Permohonan bagi setiap program yang ditawarkan adalah melebihi bilangan unjuran yang disediakan. Setiap permohonan akan dinilai berdasarkan syarat dan kriteria kemasukan tertentu yang ditetapkan oleh Senat Universiti. Dasar pengambilan pelajar USM merangkumi tiga (3) aspek berikut :

i. Merit

Mengguna pakai sistem meritokrasi dalam pemilihan pelajar yang mengambilkira 90% akademik dan 10% ko-kurikulum. Kekuatan akademik calon adalah sumbangan terbesar dalam pemeringkatan di mana kombinasi gred mata pelajaran diperingkat STPM/Matrikulasi/ Diploma/Setaraf yang mewakili 90% akademik diambil kira dan sumbangan di dalam bidang sukan / permainan / kelab / persatuan / badan beruniform / Program Latihan Khidmat Negara akan mewakili 10% sumbangan. Penggunaan sistem pemeringkatan lebih berdaya saing, adil, telus dan konsisten.

ii. Potensi

Kemampuan calon perlu dilihat dari pelbagai aspek bukan sahaja kekuatan akademik, malahan potensi, bakat dan kecenderungan calon perlu diambil kira. Kekuatan mental, watak, minat, kecerdasan dan nilai-nilai diri calon amat penting di dalam sesuatu program pengajian. Calon yang berpotensi dapat mengembangkan dan menyerlahkan bakat supaya menjadi lebih berjaya didalam program mereka dan universiti seterusnya memberi sumbangan kepada masyarakat, bangsa dan negara.

iii. Diversiti

Kepelbagaian latar belakang akademik, etnik, budaya, gender, pekerjaan dan tempat tinggal amat penting diambil kira dalam pengambilan sesuatu program pengajian.Ruang dan peluang pengajian kepada calon dari kepelbagaian latar belakang dapat meningkatkan rasa kesatuan di samping memupuk daya saing yang sihat.Keseimbangan dalam kalangan pelajar dari pelbagai latar belakang menjadi pertanda kepada wawasan insani dan nilai integriti sesebuah universiti.

Saluran Kemasukan terdiri daripada :

  1. Saluran Perdana
  2. Saluran Alternatif
    1. Luar Negara / Antarabangsa
    2. Kemasukan Khas
    3. Saluran Kedua
    4. Program Pendidikan Sepanjang Hayat (Warga Sukan, Warga Budaya & Warga Emas)
    5. Isi Rumah 40% Terendah
    6. MD USM-KLE
    7. Senibina USM-KPT (PPD)
    8. Diploma Kejururawatan
  3. Rancangan Pengajian Jarak Jauh

1.         Saluran Perdana (Lepasan STPM / Matrikulasi / Diploma / Setaraf) 

Mulai Sidang Akademik 2017/2018, pengurusan pengambilan pelajar bagi Program Pengajian Ijazah Pertama (Penuh Masa) adalah melalui sistem UPU (Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia). Permohonan untuk mengikuti pengajian di USM dibuka mengikut kategori berikut:

i. Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
ii. Matrikulasi (BMKPM) / Asasi UiTM / Asasi UM
iii. Diploma / Setaraf [A-Level/International Baccalaureate (IB) /Australian Matriculation (AUSMAT) dll]

2.         Saluran Alternatif

i. Luar Negara / Antarabangsa

Pengambilan bagi pelajar bukan warganegara Malaysia / dari luar negara untuk melanjutkan pengajian Ijazah Pertama secara penuh masa. Pelbagai bidang ditawarkan kepada calon luar negara seperti Sains Tulen, Sains Gunaan, Sastera, Kejuruteraan dan Sains Kesihatan.

ii. Kemasukan Khas

Pengambilan khas adalah satu saluran khas bagi staf kerajaan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang  ditawarkan. Setakat ini, USM hanya menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) (Perancangan dan Pengurusan Pembangunan) dan program Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial (Kepujian).

iii. Saluran Kedua

Pengambilan pelajar baru melalui corak kemasukan saluran kedua adalah dikhaskan untuk calon-calon yang sedang bekerja, yang sebelum ini tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, untuk memungkinkan mereka memperolehi kelayakan ijazah. Program yang ditawarkan adalah seperti Kejuruteraan Awam, Teknologi, Pendidikan Khas, PBP (Perumahan, Bangunan dan Perancangan) dan Sains Kesihatan.

iv. Program Sepanjang Hayat (Warga Sukan, Warga Budaya & Warga Emas)

Pengambilan pelajar dibawah program pendidikan sepanjang hayat bertujuan untuk membuka peluang kepada individu yang ingin terus menimba ilmu bagi merealisasikan impian untuk memperolehi ijazah disamping untuk memantapkan kualiti taraf pendidikan negara dan meningkatkan tahap  intelektual di kalangan masyarakat Malaysia. Pelajar yang terpilih dibawah Program Sepanjang Hayat akan diberikan diskaun yuran pengajian 50%.

a.Warga Sukan

Terbuka kepada calon lepasan STPM/Matrikulasi/Pra-U/Setaraf dan mempunyai pengalaman sebagai atlet negeri atau negara yang masih bergiat aktif sekurang-kurangnya 3 tahun.

b.Warga Budaya

Terbuka kepada calon-calon yang mempunyai pengalaman atau bekerja sekurang-kurangnya 5 tahun dalam bidang berkaitan Seni dan diiktiraf di peringkat Kebangsaan.

c.Warga Emas

Terbuka kepada warganegara yang berumur sekurang-kurangnya 50 tahun dan ke atas serta mempunyai pengalaman kerja sekurang-kurangnya 10 tahun dalam bidang berkaitan.

v. Isi Rumah 40 % Terendah

Pengambilan Isi Rumah 40% Terendah melibatkan calon pelajar daripada golongan yang kurang berkemampuan daripada aspek sosioekonomi serta kurang mendapat peluang dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Mekanisme mod kemasukan baharu ini adalah salah satu agenda Corporate Social Responsibility (CSR) USM dalam memberi ruang dan peluang kepada pelajar berkaitan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

vi. MD USM-KLE

Program off shore bersama Karnataka Lingayat Education (KLE) University di Belgaum, Bangalore, India mula ditawarkan pada pengambilannya yang pertama mulai Sidang Akademik 2010/2011. Pelajar akan mengikuti pengajian di India selama lima tahun dan dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan USM setelah menamatkan pengajian.

vii. Senibina USM-KPT (PPD)

USM telah menjalin kerjasama dengan Politeknik Port Dickson melalui program pesisir USM-KPT(PPD) bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan Dan Perancangan)(Kepujian) (Senibina). Program ini bertujuan meluaskan peluang pendidikan merentas kampus dan merealisasikan motto university “Kami Memimpin”. Program ini terbuka kepada semua pelajar Diploma Senibina dari Politeknik seluruh Negara. Tempoh pengajian adalah selama 3 tahun di Politeknik Port Dickson Negeri Sembilan dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan Dan Perancangan) (Kepujian) (Senibina).

viii. Diploma Kejururawatan

Program Diploma Kejururawatan USM merupakan satu program profesional yang berfokuskan kepada pendidikan akademik dan latihan klinikal bagi melatih jururawat profesional yang mahir dalam praktis kejururawatan klinikal moden yang selamat serta berupaya menyumbang kepada kesihatan masyarakat. Program ini terbuka kepada calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

3.         Program Pengajian Jarak Jauh

Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) telah dimulakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1971 dan merupakan satu rancangan pengajian yang terulung di Malaysia yang menawarkan pengajian ijazah secara jarak jauh.

Kursus-kursus yang ditawarkan adalah setara dengan kursus yang diikuti oleh pelajar dalam kampus. Bahan pengajaran terdiri daripada bahan bercetak, pita rakaman dan bahan aneka media yang lain.

Jangkamasa pengajian ialah selama 5 tahun (minimum) hingga 12 tahun (maksimum). Mereka yang berjaya akan dianugerahkan salah satu Ijazah Sarjana Muda seperti berikut:

  • Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian)
  • Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian)
  • Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian)
  • Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian)

 

Layari https://pohon.usm.my USM untuk maklumat lanjut.