
Jata
Jata USM yang memaparkan bulan sabit dan bintang, dua ekor harimau, perisai, serta moto, mencerminkan identiti Malaysia yang menjadi sumber inspirasi dan dorongan Universiti. Peranan Universiti sebagai sebuah institusi negara turut tergambar melalui simbol-simbol lain dalam jata tersebut.
Bulan sabit melambangkan autoriti Islam sebagai agama rasmi. Bintang dengan empat belas bucu pula melambangkan perpaduan antara tiga belas negeri dengan kerajaan Malaysia.
Dua ekor harimau yang menjadi simbol kebangsaan Malaysia mencerminkan sifat kekuatan. Manakala dua pelepah kelapa sawit keemasan melambangkan kemakmuran ekonomi.
Perisai, yang secara universalnya melambangkan perlindungan, dan dipegang oleh harimau, merupakan alat tradisional orang asli Malaysia. Warna ungu yang melambangkan kedudukan tinggi pula ialah warna rasmi Universiti.
Buku terbuka pada perisai melambangkan ilmu pengetahuan yang dikaitkan dengan Universiti. Dua bilah keris yang melambangkan autoriti dan kuasa Diraja merupakan senjata tradisional Melayu. Bunga raya pada perisai pula ialah bunga kebangsaan Malaysia.
Secara keseluruhannya, jata ini didasari oleh moto 'KAMI MEMIMPIN' yang mencerminkan peranan Universiti dalam bidang ilmu, pengajaran, penyelidikan, dan khidmat kepada masyarakat.