Skip to main content

Apex USM

Agenda Transformasi APEX

Universiti Sains Malaysia (USM) telah dipilih untuk melaksanakan Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) pada tahun 2008. APEX ialah program laluan pantas yang bertujuan membolehkan institusi pendidikan tinggi diiktiraf sebagai entiti kelas dunia. Program ini bertujuan memudahkan universiti yang terpilih itu mencapai tahap antarabangsa dan juga merangsang serta membantu meningkatkan tahap kecemerlangan dalam pendidikan tinggi. Program APEX telah dikenal pasti sebagai salah satu inisiatif penting untuk membantu mentransformasikan Pendidikan Tinggi Malaysia. Berikutan inisiatif ini, Kementerian Pendidikan Tinggi telah meminta semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta agar mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan sebagai Universiti APEX, dengan status APEX yang berprestij itu diberikan kepada yang berjaya. Misi USM dalam melaksanakan program APEX ini adalah untuk menjadi sebuah universiti perintis, transdisiplin, dan berorientasikan penyelidikan yang memperkasakan bakat masa depan, serta membolehkan golongan “bottom billion” mengubah kesejahteraan sosioekonomi mereka. “Kami berhasrat untuk memimpin dan melakukan pembaharuan dalam mencapai kecemerlangan peringkat antarabangsa melalui pemajuan dan penyebaran ilmu pengetahuan dan kebenaran, menyemai kualiti yang menekankan kecemerlangan dan profesionalisme akademik, membentuk individu holistik, dan memberikan komitmen padu terhadap aspirasi masyarakat, wawasan negara dan aspirasi sejagat”. USM juga mengintegrasikan konsep kelestarian untuk mencapai visinya sebagai sebuah universiti APEX, iaitu: “Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok”.

Status APEX

Dunia lestari, kemanusiaan, dan masa depan umat manusia adalah antara isu yang diberikan penekanan oleh Universiti Sains Malaysia. Berdasarkan prinsip-prinsip utama ini, USM telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk melaksanakan Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) di bawah naungannya. Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Pendidikan Tinggi ketika itu iaitu Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin pada 3 September 2008. Sejak penubuhannya pada tahun 1969, USM telah melalui pelbagai fasa pembangunan, bukan sahaja dalam melahirkan graduan yang menyokong keperluan negara, tetapi yang lebih penting, berfungsi sebagai pemangkin kemajuan dan pembinaan negara. Tempoh 40 tahun seterusnya, sudah tiba masa bagi USM untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi dalam mempersiapkan Universiti ke arah masa depan yang lebih mencabar dan unik.

Di bawah kertas cadangan APEX yang bertajuk, “Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow” (Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok), USM telah merangka beberapa usaha dalam menggalakkan proses pembangunan lestari untuk memastikan masa depan yang lebih berpanjangan, terutama kelangsungan bumi dan penghuninya, dengan memastikan penggunaan sumber yang sesuai ke arah pemahaman yang lebih mendalam, menghormati, serta mengambil langkah yang perlu untuk membina masa depan yang seimbang, makmur, dan lestari.

Penekanan diberikan pada “…untuk mengintegrasikan pembangunan lestari ke dalam sistem pendidikan agar generasi akan datang dapat dibentuk dan diterapkan dengan keperluan untuk mendukung perlindungan ekologi, pemuliharaan sumber dan pembangunan manusia berdasarkan prinsip-prinsip kesaksamaan, keterangkuman, kebolehcapaian, ketersediaan, kemampuan, dan kesesuaian, serta untuk menjelaskan makna yang seimbang tentang kualiti.”

Seiring dengan ini, USM telah melaksanakan program penjenamaan semula dan pengiktirafan yang membolehkannya memperkukuh dan menterjemahkan misi utamanya sebagai universiti perintis, transdisiplin, dan berorientasikan penyelidikan yang memperkasakan bakat masa depan dan membolehkan golongan 'bottom billion' mengubah kesejahteraan sosioekonomi mereka. Misi ini sejajar dengan visi “Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok”.

Sebagai Pusat Kecemerlangan Serantau bagi Pendidikan untuk Pembangunan Lestari yang diiktiraf oleh Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Nagoya University, Jepun, pada 29 Jun 2005, banyak usaha yang sememangnya perlu dilakukan oleh USM. Contoh ketara termasuklah kempen-kempen tentang kelestarian seperti kempen “The White Coffin” yang berjaya menamatkan penggunaan polistirena, serta mengemukakan model kaedah melaksanakan aktiviti seumpamanya, yang diiktiraf peringkat nasional dan antarabangsa, dan yang terbaharu diiktiraf oleh Global University Network for Innovation (GUNI). Begitu juga dengan kempen mengurangkan penggunaan plastik di dalam kampus yang masih berterusan sehingga kini.

Mobilisasi kepakaran dalaman untuk membangunkan konsep “eco-hub” dengan menggunakan sumber yang ada merupakan salah satu contoh kejayaan setakat ini, yang kesemuanya dijayakan oleh sukarelawan warga kampus.

USM akan terus menjadi peneraju dalam menghadapi cabaran masa depan dengan mendukung tujuh teras utama sebagai asas untuk membentuk universiti APEX pertama negara. Tujuh teras tersebut ialah keprihatinan terhadap: Masa Depan, Keunikan, Kelestarian, Kemanusiaan, Kesejagatan, Perubahan, dan Pengorbanan seperti yang dizahirkan oleh Naib Canselor USM ketika itu, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, semasa Amanat Naib Canselor 2009 bertajuk “Universiti APEX: Satu Tuntutan, Satu Pengorbanan”.

Hal ini bermakna, USM komited untuk mencipta masa depan yang lestari dengan memanfaatkan pendidikan tinggi sebagai platform mendekati umat manusia secara keseluruhan sambil memberikan sokongan padu terhadap matlamat utama antarabangsa seperti Matlamat Pembangunan Milenium, Pendidikan untuk Semua, Pendidikan untuk Pembangunan Lestari dan agenda lain pada masa hadapan. Dalam usaha melaksanakannya, USM memilih untuk maju ke hadapan berdasarkan “Strategi Lautan Biru” (Blue Ocean Strategy) yang memerlukan cara berfikir yang unik dan inovatif, serta mengambil tindakan dan menetapkan matlamat dan norma. Dengan kata lain, strategi ini mewujudkan kelestarian dan kemanusiaan sebagai teras keunggulan yang menggambarkan bahawa USM benar-benar ingin memastikan kelangsungan bumi ini untuk diwarisi oleh generasi akan datang. Ringkasnya, inilah maksud sebenar APEX bagi USM.

9 Teras APEX

USM telah diberikan mandat untuk melaksanakan APEX (Accelerated Programme for Excellence - Program Pemacuan untuk Kecemerlangan) pada bulan September 2008. Sejak itu, USM sentiasa berusaha menanam nilai-nilai dan teras utama untuk dipegang dan dipertahankan oleh semua warga USM.

1. Pengetahuan

Objektif utama universiti adalah untuk menerokai dan menguasai ilmu pengetahuan. Setiap usaha yang dilakukan mestilah berasaskan pengetahuan dan analisis melalui metodologi terkini. Ilmu pengetahuan merupakan agenda utama universiti, yang menumpukan penerokaan, pemerkasaan dan penerapan dalam semua usaha warga USM, dan disemai serta dibangunkan secara berterusan untuk memajukan negara dan mencapai keharmonian yang berterusan. Ilmu pengetahuan juga menjadi teras dalam merealisasikan moto “Kami Memimpin”.

2. Masa Hadapan

Semua usaha hendaklah berasaskan pemikiran terkehadapan, melihat impak masa depan terhadap diri sendiri, warga USM dan masyarakat. Penekanan perlu diberikan pada legasi yang ditinggalkan dan cara tindakan yang diambil berdasarkan amalan pemikiran terkini itu akan menyumbang pembangunan masa depan.

3. Keunikan

Kualiti tersendiri inilah yang membezakan USM dan warganya daripada institusi lain dalam membentuk kekuatan dan impak untuk masa depan. Untuk menjadi kompetitif dalam menghadapi masa depan, universiti serta warganya perlu menjadi unik untuk menghasilkan keputusan yang diinginkan daripada pelbagai usaha, iaitu dengan berfikir di luar kotak dan merealisasikan usaha di bawah Strategi Lautan Biru.

4. Kelestarian

 Mewujudkan idea dan usaha, iaitu daripada pemuliharaan alam sekitar kepada pemuliharaan tradisi dan kearifan tempatan yang wujud dalam pelbagai komuniti, agenda kesukarelawanan dan pembentukan pelbagai inisiatif, untuk memupuk semangat kelestarian dan melaksanakan usaha menjaga alam sekitar.

5. Kesejagatan

Pengiktirafan nilai-nilai sejagat yang dikongsi bersama, hasil pemikiran terbuka dan meluas, memahami budaya dan nilai-nilai global sejagat yang dihormati bersama sambil mengekalkan maruah diri seperti yang tergambar dalam istilah “Glocal” yang bermaksud sifat global dalam pemikiran dan sifat tempatan dalam tindakan, berdasarkan penghormatan penuh terhadap budaya dan nilai-nilai sedia ada, kesemuanya terangkum dalam semangat “Rukun Negara”. Warga universiti juga perlu memiliki kesanggupan untuk bekerjasama melalui penyertaan secara inklusif tanpa sebarang sekatan.

6. Kemanusiaan

Kepentingan aspek ini tidak dapat dinafikan lagi dalam memastikan kesinambungan manusia dan alam semesta. Ia melambangkan sifat belas kasihan sambil menjunjung nilai dan prinsip hidup dalam menjaga alam semesta, manusia dan masyarakat secara keseluruhan.

7. Pengorbanan

Kesanggupan untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan secara berterusan untuk memastikan misi universiti yang diamanahkan ini dijunjung bersama atas rahmat Tuhan. Semangat seperti ini perlu lahir daripada hati atau jiwa berdasarkan semangat “I Love USM” (Saya Sayang USM) dan “Driving Excellence” (Memacu Kecemerlangan).

8. Perubahan

Kejayaan universiti bergantung pada perubahan dalam kalangan warganya yang akan membawa perubahan dalam pemikiran dan tindakan, lantas menghasilkan output yang memberikan impak kepada masyarakat dan dunia melalui ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan teras yang dibangunkan secara bersama.

9. Kesejahteraan

Semua usaha yang relevan bertujuan merealisasikan ciri-ciri mental dan fizikal yang harmoni kepada semua, termasuklah warga universiti dan rakyat negara serta dunia, yang terhasil daripada pemikiran dan tindakan berterusan dan lestari yang merangkumi pembangunan fizikal, rohani dan moral serta kebahagiaan berterusan.

Logo APEX

Rasional Logo

Logo ini dicipta sebagai kesinambungan inisiatif APEX sejak ia bermula pada tahun 2008. Bentuk segi tiga melambangkan tiga sudut yang mewakili nilai teras - unggul, harmoni, dan kebersamaan, dan digabungkan dengan komponen kehidupan berasaskan kemanusiaan, alam semula jadi, dan ketuhanan. Segi tiga itu disusun secara menaik yang mencerminkan pencapaian berterusan universiti yang terus melonjak lebih tinggi, dan disusun menjadi bentuk huruf 'A' yang mencerminkan kecemerlangan menyeluruh.

Komposisi sembilan segi tiga pula mewakili sembilan teras APEX (Ilmu, Masa Depan, Kelestarian, Keunikan, Kesejagatan, Kemanusiaan, Perubahan, Pengorbanan, Kesejahteraan) dalam memacu kecemerlangan. Segi tiga terbesar (ungu) melambangkan asas bagi ilmu pengetahuan, manakala segi tiga bersaiz sederhana (putih) melambangkan keharmonian.

Penerangan Warna Logo

Ungu melambangkan kematangan, manakala jingga berkait rapat dengan sifat dinamik, dan kedua-duanya selari dengan moto Kami Memimpin dan APEX, yang berasaskan kematangan serta kekuatan yang diperkukuh dengan ciri-ciri dan sikap yang dinamik.

Pengembaraan Kelestarian APEX

PENAFIAN

Terjemahan yang disediakan di laman sesawang rasmi ini hanya untuk rujukan pelajar antarabangsa untuk membantu proses permohonan dan kemasukan mereka.

Pihak Universiti tidak akan bertanggungjawab atas sebarang percanggahan maklumat yang timbul daripada terjemahan ini. Pengguna digalakkan merujuk dokumen rasmi dan mendapatkan penjelasan daripada pihak Universiti yang berkaitan jika perlu.

Sekiranya terdapat sebarang percanggahan maklumat antara versi bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Mandarin dalam laman sesawang ini, maka versi bahasa Melayu akan diambil kira.

    • Last Modified: Friday 25 April 2025

    Hak Cipta Terpelihara
    Universiti Sains Malaysia © 2025