Tabung Endowmen (USM)
1.0 TAKRIFAN
1.1 Endowmen ialah aset kewangan yang didermakan kepada institusi yang tidak berteraskan keuntungan sama ada dalam bentuk wang tunai, saham, tabung pelaburan atau harta modal yang cara-cara penggunaanya telah dipersetujui bersama-sama.
1.2 Endowmen boleh diterima dalam pelbagai bentuk sama ada wang ringgit, saham-saham pelaburan, aset, pembinaan bangunan dan infrastuktur, keuntungan pelaburan dan atau apa-apa bentuk sumbangan endowmen yang telah dipersetujui bersama.
1.3 Lain-lain takrifan perlu dirujuk kepada terma rujukan tabung berkenaan.
2.0 JENIS TERIMAAN DANA ENDOWMEN USM
2.1 Bagi memperihalkan perkara 1.0 di atas, dalam konteks Potongan Cukai di bawah Subseksyen 44(11D) Akta Cukai Pendapatan 1967, endowmen dalam bentuk tunai sahaja yang layak diberi potongan cukai. Endowmen yang diterima mestilah dikekalkan nilai asal dan hanya faedah atau manfaat sahaja yang boleh digunakan tertakluk kepada:
i. Penyumbang menetapkan penggunaan faedah atau manfaat sumbangan secara khusus.
ii. Penyumbang tidak menetapkan penggunaan faedah atau manfaat sumbangan secara khusus dan kebebasan Universiti/ PTJ dalam penggunaannya.
3.0 OBJEKTIF PENUBUHAN TABUNG ENDOWMEN USM
Objektif penubuhan endowmen adalah seperti berikut:
3.1 Memastikan kelangsungan sumber kewangan Universiti dan menjana pendapatan bagi jangka masa panjang untuk memajukan pembelajaran, pengajaran, penyelidikan, kemudahan peralatan, infostruktur dan infrastruktur Universiti.
3.2 Membiayai tajaan hadiah, biasiswa dan lain-lain bentuk pembiayaan yang berteraskan kebajikan pelajar.
3.3 Membiayai aktiviti-aktiviti yang melibatkan pendidikan, pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, pengembangan keterampilan kebajikan dan kemanusiaan dalam kalangan pelajar.
3.4 Membiayai kemudahan peralatan, infostruktur dan infrastruktur yang bermanfaat kepada Universiti ke arah kemajuan, pengajaran serta pembelajaran.
3.5 Membiayai aktiviti yang difikirkan sesuai dengan kepentingan pelajar dan Universiti tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Tabung Endowmen USM.
3.6 Membudayakan amalan memberi sumbangan di kalangan warga Universiti dan pihak luar.
4.0 SUMBER TABUNG ENDOWMEN
Sumber Tabung Endowmen diperolehi melalui sumbangan:
4.1 Sumbangan Langsung
Sumbangan/ derma tunai yang diberikan oleh syarikat atau badan korporat, yayasan, persatuan, GLC, komuniti atau individu dalam bentuk tunai, cek dan pindahan secara online. Aku janji (pledge) tunai di mana sumbangannya dibuat secara berperingkat juga termasuk dalam kategori ini.
4.2 Sumbangan Runcit
Sumbangan tunai berkala dibuat secara berterusan seperti berikut:
i. Sumbangan Individu
Individu dalam atau luar universiti boleh menyumbang kepada tabung endowmen mengikut kemampuan masing-masing secara “one off”, berperingkat (pledge), melalui potongan gaji atau mana-mana platform sumbangan yang dibangunkan dari semasa ke semasa.
ii. Sumbangan Fakulti atau PTJ
Pendapatan yang diperolehi fakulti melalui aktiviti penjanaan seperti seminar, kursus, perundingan dan lain-lain yang disumbangkan kepada tabung ini.
4.3 Wang yang diterima dari sumber yang haram atau melalui aktiviti yang merupakan suatu kesalahan di bawah undang-undang tidak boleh diterima sebagai endowmen.
Nota: Tabung Endowmen USM masih dalam proses mendapatkan kelulusan di bawah subseksyen 44(11D) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).
SOALAN LAZIM
Untuk wakaf dan endowmen perlu lihat kepada MOU antara pewakaf/ penyumbang berkaitan sumbangan wakaf/ endowmen yang diterima sama ada nilai prinsipal perlu dikekalkan atau pun tidak. KPHDN telah menetapkan syarat 50% perbelanjaan objektif iaitu 50% daripada pendapatan (hasil manfaat wakaf/ endowmen) yang diterima pada tahun sebelum perlu dibelanjakan untuk menjalankan objektif. Bagi mengekalkan kelulusan, pihak tabung perlu mematuhi syarat ini.
Contoh kes: Pihak Tabung wakaf dan pewakaf telah meterai MOU yang menyatakan bahawa jumlah pelaburan sebanyak RM 10 juta tidak boleh digunakan sebaliknya perlu dilaburkan. Sebaliknya, hasil keuntungan (dividen/ faedah ke atas pelaburan tersebut boleh digunakan berdasarkan tujuan objektif penubuhan tabung tersebut. Maka, dividen atau keuntungan daripada jumlah pelaburan tersebut tertakluk kepada syarat perbelanjaan 50%.
Resit rasmi pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(11D) ACP1967 tidak boleh dikeluarkan kepada penyumbang kerana wang sumbangan merupakan hanya bayaran sumbangan pokok yang berstatus dikembalikan. Resit hanya dikeluarkan kepada sumbangan berstatus guna habis.